BN pilih calon berdedikasi, ambil berat masalah rakyat
KUALA LUMPUR 12 April - Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesemua calon yang
dinamakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) untuk mewakili BN, adalah
anggota parti yang begitu berdedikasi dan mengambil berat terhadap
masalah rakyat.
Justeru, beliau berharap agar rakyat meluangkan masa mengenali
calon-calon itu dengan lebih dekat, mengetahui perubahan yang ingin
dibawa dan wawasan mereka terhadap kawasan yang diwakili serta negara
secara keseluruhannya.
"Dalam lebih tiga minggu lagi kita sama-sama akan dapat bertindak bagi menentukan perjalanan negara kita seterusnya.
"Sekiranya keamanan dan kemajuan yang anda inginkan, maka teruslah
menyokong BN kerana sepanjang lima tahun lalu, kami sudah pun
membuktikan yang program transformasi telah berjaya membawa kemajuan
kepada Malaysia," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my.
Najib berkata lebih banyak program transformasi boleh direalisasikan
sekiranya BN diberi mandat dan kepercayaan untuk meneruskan menerajui
negara.
Dalam pada itu, Najib berkata dalam meneruskan tradisi menepati janji
membawa harapan, BN telah mengumumkan manifesto atau Akujanji kepada
rakyat untuk tempoh pentadbiran seterusnya.
Katanya manifesto itu boleh dilihat dalam bentuk paparan grafik di laman blog www.1malaysia.com.my dan berharap rakyat dapat berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.
Di samping itu, Najib berkata BN telah melancarkan Kit Tindakan
Online yang boleh dimuat turun sebagai tanda sokongan secara online
kepada parti itu.
"Dengan sokongan itu, kita dapat bersama-sama memastikan impian kita
semua untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, maju dan
makmur pada masa akan datang dapat dicapai," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment