Perwakilan DAP bidas Karpal
SEPANG 14 April - Dua perwakilan DAP menyangkal
kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam bahawa tiada penipuan
berlaku pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang diadakan pada
hujung tahun lalu.
Bekas Penolong Setiausaha DAP Taman Seri Sungai Pelek, Wong Yu Liuh
berkata, beliau dan dan Ahli Jawatankuasanya, G. Manimaran merupakan
antara 753 perwakilan yang dinafikan hak untuk mengundi pada pemilihan
itu.
Katanya, tindakan itu bertentangan dengan undang-undang parti dan menggesa pemilihan semula diadakan bagi keadilan semua pihak.
"Kami menggesa DAP mengadakan semula pemilihan itu supaya hak kami sebagai perwakilan dituntut.
"Kami hendak mengundi dan berharap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
jangan anggap dan layan kami seperti paria," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Turut hadir bekas Ketua Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat.
Baru-baru ini, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku
Ibrahim mendedahkan tentang kegagalan parti itu memaklumkan kepada 753
daripada 2,576 ahlinya untuk menghadiri pemilihan CEC berkenaan pada 15
Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, semalam Pengerusi DAP itu mengakui terdapat masalah
teknikal pada pemilihan parti tetapi tidak ada penipuan seperti dakwaan
pihak tertentu termasuk bekas Naib Pengerusinya itu.
Sehubungan itu, Yu Liuh menggesa Karpal tidak lagi mengeluarkan
sebarang kenyataan membela Setiausaha Agung DAP tersebut yang didakwa
menjadi punca kegagalan menghantar surat notis kepada perwakilan lain.
"Kami kecewa terhadap perangai dan sikap angkuh Guan Eng. Dia yang
sebenarnya mengeluarkan surat notis dan bukan Karpal. Kami berharap
Karpal tidak membela Guan Eng lagi dalam isu ini," katanya.
Sementara itu, Tuan Tat yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP
Selangor berkata, cawangan tersebut sepatutnya mempunyai empat
perwakilan untuk mengundi pada pemilihan CEC itu namun tiada seorang pun
wakil diserahkan notis sebagai perwakilan.
"Berdasarkan dokumen parti terhadap pemilihan wakil kongres, jika
mana-mana cawangan mempunyai ahli antara 15 hingga 25 orang yang telah
membayar yuran, parti akan memberi satu tempat jika mempunyai 26 hingga
50 ahli parti akan memberi tiga tempat.
"Jika lebih 51 ahli parti akan bagi empat tempat dan bererti cawangan
ini yang mempunyai lebih 51 ahli, maka empat tempat perlu diberikan,"
katanya.
No comments:
Post a Comment