Kenapa Rafidah berdiam diri?
KUALA LUMPUR 27 Mei - Pergerakan Wanita UMNO hari
ini melahirkan rasa hairan dengan sikap Pengerusi Lembaga Pengarah
AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz yang masih berdiam diri berhubung
kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Azran
Osman-Rani baru-baru ini.
Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar
berkata, Rafidah selaku pengerusi syarikat berkenaan tidak harus
bertindak demikian memandangkan sikap Azran itu umpama tidak menghormati
kepimpinannya sebagai bekas pemimpin Wanita UMNO yang membela
kepentingan wanita Melayu di negara ini.
"Azran sepatutnya sedar akan kedudukan beliau sendiri sebagai anak
Melayu yang mendapat manfaat besar di syarikat penerbangan tersebut.
"Tindakan tegas daripada Rafidah juga didesak bagi membuktikan
semangat kebangsaan yang ada dalam syarikat yang mewakili nama baik
Malaysia di serata dunia masih terus kekal," katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Azran menerusi akaun Facebook dan Twitternya baru-baru ini bertindak mencerca Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar rasis hanya kerana menyiarkan artikel berbentuk pertanyaan bertajuk Apa lagi Cina mahu? pada 7 Mei lalu.
Kenyataan biadab itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak
termasuk Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
yang menuntut penjelasan Rafidah berhubung kenyataan Azran berkenaan.
Mengulas lanjut, Rosni berkata, Rafidah tidak seharusnya lantang
mengkritik dan mengadu-domba pada landasan Wanita UMNO semata-mata.
Tetapi, kata beliau, apabila perkara yang membabitkan kepentingan
Melayu, Rafidah mengambil keputusan untuk berdiam diri atau mungkin
bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu sendiri setuju dengan kenyataan
Azran tersebut.
"Apakah begini sikap seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO?" soalnya.
Persoalannya, tambah beliau, apakah Azran membuat kenyataan tersebut
setelah mempertimbangkan atau membaca akhbar-akhbar Cina yang mana lebih
rasis daripada Utusan Malaysia sendiri?
"Saya bagi pihak Wanita UMNO mendesak Azran untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua orang Melayu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment