Kami tidak akan buat kerja gila'
IPOH 27 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Bota, Datuk Nasaruddin Hashim membidas tindakan pihak tertentu yang
menyebarkan khabar angin kononnya beliau dan beberapa wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) akan melompat parti bagi membolehkan pembangkang
berkuasa di Perak.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai 'provokasi jahat', Nasaruddin
menasihatkan musuh-musuh politik BN terutamanya di Perak supaya berhenti
berangan-angan kerana perkara itu tidak akan berlaku.
"Mungkin mereka hendak jolok saya dengan cerita-cerita begini, mereka
ingat saya ini apa? Jangan perlekeh kesetiaan saya kepada parti.
Hentikanlah berangan kerana lompat parti tidak akan berlaku," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cakap-cakap kononnya sekurang-kurangnya dua
wakil rakyat BN Perak akan melompat parti sekali gus membolehkan
pembangkang membentuk kerajaan.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang dengan majoriti mudah di
Perak apabila memperoleh sebanyak 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Nasaruddin pernah menggemparkan politik tanah air pada Januari 2009
apabila meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sebelum sekali lagi
membuat keputusan memeranjatkan apabila mengumumkan kembali semula ke
pangkuan UMNO dua minggu kemudian.
Dalam pilihan raya 2008, pembangkang yang menang sebanyak 31 kerusi
di negeri ini hanya dapat mengekalkan kuasa selama 11 bulan apabila
empat wakil rakyatnya iaitu masing-masing dua daripada DAP dan PKR
bertindak keluar parti menjadi ADUN Bebas sehingga membolehkan BN
menubuhkan semula kerajaan.
Menurut Nasaruddin, ada pihak yang sengaja menjaja cerita sedemikian
untuk menggambarkan keadaan seolah-olah kerajaan BN Perak kini tidak
stabil.
"Cerita 2009 tidak sama, dahulu BN tidak tubuh kerajaan, sekarang
kita ada kerajaan, saya tidak akan tergamak merosakkannya dengan
berpaling tadah. Itu kerja gila.
"Saya selalu tegaskan, saya keluar parti dulu kerana saya lihat
ketika itu kelemahan UMNO dari aspek pentadbiran dan kepimpinan, tetapi
UMNO berani berubah sehingga kita menang kali ini," tegasnya.
Ditanya sama ada beliau ada didekati pihak tertentu yang memujuknya
supaya melompat parti, Nasaruddin berkata: "Tidak ada dan kalau ada pun,
saya akan tolak dan minta mereka balik dan belajar mendalami ilmu
politik dalam-dalam terlebih dahulu".
Beliau menambah: "Kalau saya tahu ada pihak yang datang nak pujuk
(ADUN) yang lain supaya lompat parti, saya orang pertama yang akan
halang".
Sementara itu, ADUN Slim, Datuk Khushairi Abd. Talib yang turut dikaitkan dengan dakwaan akan melompat parti menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut.
"Saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh timbul, tetapi mengarut,
sangat mengarut. Kami tidak buat kerja gila begitu," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak terutamanya pembangkang supaya
tidak memperkecilkan tahap kesetiaan ADUN BN dengan melemparkan
dakwaan-dakwaan seumpama itu.
No comments:
Post a Comment