NICOL David menjulang trofi Terbuka Dunia yang dimenangi buat kali ketujuh di Kepulauan Cayman, semalam.
KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Krismas tahun ini amat bermakna buat
Datuk Nicol David apabila dia melebarkan rekod DENGAN merangkul
kejuaraan skuasy wanita Terbuka Dunia buat kali ketujuh di Kepulauan
Cayman, semalam.
Selepas memintas rekod lima gelaran milik idolanya, Sarah
Fitz-Gerald tahun lalu, jaguh No. 1 dunia itu masih bernafsu untuk terus
mencipta rekod apabila menyingkirkan bintang England dan pemain No. 3
dunia, Laura Massaro 11-6, 11-8, 11-6.
Malah, Nicol turut melakar rekod baru kejohanan sejak ia
diperkenalkan pada 1976, apabila menjadi pemain pertama melayakkan diri
ke final sebanyak lapan kali dalam tempoh sembilan tahun. Nicol muncul
naib juara pada 2004 selepas kalah kepada Vanessa Atkinson dari Belanda.
Walaupun diheret dalam rali yang panjang, Nicol menunjukkan
kesabaran tinggi, termasuk ketika ketinggalan 5-7 di set kedua sebelum
bangkit pada masa yang tepat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai
legenda skuasy dunia.
Kemenangan tersebut menutup mulut pengkritik bahawa pemain berusia
29 tahun itu sudah dikejar pemain generasi muda dan tidak mungkin mampu
mengekalkan kedudukan lebih lama. Saya tidak percaya.. benar-benar tidak percaya.
“Saya gembira menang perlawanan ini kerana Laura memberi tekanan
kepada saya pada setiap mata. Ada ketikanya, saya hanya membiarkan
pukulannya kerana tiada jawapan, dia bermain dengan sangat bagus.
“Saya hanya fokus kepada permainan sendiri tetapi terpaksa
mempercepatkan rentak pada pertengahan saingan untuk mencipta
kemenangan. Bila memikirkan tentangan kemenangan hari ini, berjaya
menang sekali lagi di Cayman dan meraih gelaran dunia ketujuh, saya
sedar hanya itu yang saya mahukan,’’ ujar Nicol.
Biarpun memegang rekod pertemuan keseluruhan 14-2, namun menentang Massaro, perlawanan sering diheret dalam aksi sengit.
Dua detik paling genting buat Nicol semalam hadir pada kedudukan
7-7 di set kedua. Ia menjadi titik kebangkitan ratu skuasy negara itu
sebelum menjarakkan kedudukan 8-7 dan menang 11-8.
Massaro terus menguji Nicol dengan bermain rali di set ketiga,
selain beberapa kali melakukan pukulan kilas yang menyebabkan bola jauh
daripada dinding, namun kesabaran Nicol mengejar setiap pukulan akhirnya
berbaloi.
Enam gelaran Terbuka Dunia sebelum ini yang dimenangi ratu skuasy
negara itu bermula di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006),
England (2008), Mesir (2010) dan dua kali di Belanda (2009 dan 2011).
“Saya agak kecewa. Pertengahan permainan adalah tempoh yang penting dan ketika itulah saya gagal menyainginya.
“Jarang sekali dia (Nicol) dapat ditewaskan, dia memang seorang
pemain yang hebat tetapi kami bekerja keras dan berusaha untuk
meningkatkan prestasi, sekurang-kurangnya dia menerima cabaran yang
lebih hebat,’’ kata Massaro.
No comments:
Post a Comment