Wednesday, 16 January 2013

DENGAR SINI WAHAI PUAK PENCHACHAI....

Guling kerajaan cara Arab tidak sesuai

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Langkah untuk menggulingkan kerajaan mengikut cara Arab tidak sesuai dan tidak wajar dilakukan di Malaysia kerana apa yang diperjuangkan adalah berbeza.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, apa yang cuba dilakukan pembangkang dengan mengadakan demonstrasi atau himpunan tidak sama seperti di Arab kerana rakyat mereka ditindas tetapi ia tidak berlaku di Malaysia.

''Saya berani katakan mereka yang pergi ke himpunan pada Sabtu lepas, sembilan dari 10 yang hadir mempunyai kehidupan selesa dan mempunyai pekerjaan, berbanding peserta 'Kebangkitan Arab atau Arab Spring'.

''Para pemimpin pembangkang sebenarnya kecewa dengan keputusan himpunan lalu kerana gagal menunjukkan keganasan pihak polis di mata dunia.

''Mereka sebenarnya ingin menggambarkan Malaysia tidak aman dan memerlukan perubahan kepimpinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran himpunan pembangkang Sabtu lalu menunjukkan pakatan itu mempunyai niat untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat melalui cara yang ditiru dari negara-negara Arab.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaedah dari Arab yang digunakan pembangkang bagaimanapun tidak menunjukkan ciri-ciri demokrasi serta tidak kena pada tempatnya.
"Pembangkang adakan perhimpunan sebab mereka lihat diri mereka tidak boleh menang melalui cara demokrasi atau pilihan raya, jadi mereka tiru cara-cara di negara Arab.

"Tetapi kerajaan di sini bukan kerajaan kuku besi, kerajaan di Malaysia adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mempertikaikan tujuan pakatan pembangkang yang selalu mengadakan himpunan sekiranya mereka terlibat dengan apa-apa kes mahkamah.

Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang mengadakan himpunan besar-besaran juga mewujudkan keadaan serba salah kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, mengadakan demonstrasi seperti yang dilakukan pembangkang adalah sesuatu yang hina dan rendah martabat.

''Rakyat telah mula jelak dengan tindakan mereka dan orang ramai tidak akan menyokong pemimpin yang cuba mengalih perhatian terhadap isu-isu peribadi mereka dengan membawa ke jalanan.

''Saya menyeru orang ramai supaya jangan sekali-kali mengundi pembangkang yang tidak menghormati demokrasi Negara," katanya.

No comments:

Post a Comment