Monday 14 January 2013

Niat guling kerajaan


CYBERJAYA 14 Jan. - Penganjuran himpunan pembangkang Sabtu lalu menunjukkan pakatan itu mempunyai niat untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat melalui cara yang ditiru dari negara-negara Arab.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaedah dari Arab yang digunakan pembangkang bagaimanapun tidak menunjukkan ciri-ciri demokrasi serta tidak kena pada tempatnya.
''Pembangkang adakan perhimpunan sebab mereka lihat diri mereka tidak boleh menang melalui cara demokrasi atau pilihan raya, jadi mereka tiru cara-cara di negara Arab.

''Tetapi kerajaan di sini bukan kerajaan kuku besi, kerajaan di Malaysia adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Cyberjaya di sini hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Dr. Mahathir telah diberi taklimat oleh pemaju utama Cyberjaya, Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSD) mengenai projek-projek yang sedang dan bakal dijalankan di bandar pintar tersebut.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mempertikaikan tujuan pakatan pembangkang yang selalu mengadakan himpunan sekiranya mereka terlibat dengan apa-apa kes mahkamah.

''Walaupun boleh buat demonstrasi dalam negara demokrasi, mereka kenalah ada alasannya dan bukan adakan demonstrasi mengenai Shamsidar," katanya.

Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang mengadakan himpunan besar-besaran juga mewujudkan keadaan serba salah kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam.

''Pihak berkuasa pun serba salah sebab kalau mereka ambil tindakan maka akan dituduh sebagai kasar, tetapi mereka tetap diperkatakan kalau mereka longgar sedikit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, Malaysia mesti mempunyai sistem ganjaran kepada bakat asing supaya tenaga kerja yang mempunyai kepakaran akan memilih untuk berkhidmat di negara ini.

''Saya masih berpegang kepada pendapat bahawa kita perlu beri taraf pemastautin tetap kepada bakat asing. Banyak negara yang dikatakan maju sebenarnya bergantung kepada bakat asing yang berkebolehan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment