Remaja perempuan didenda RM425 kerana dera anak kucing
KENT 10 Jan. - Dua remaja perempuan Britain menggemparkan ramai pihak
apabila aksi mereka menghayun seekor anak kucing menggunakan ekor
haiwan itu dirakam dan disebarkan di dalam laman sosial Facebook.
Remaja berusia 15 dan 16 itu turut membaling ke arah satu sama lain
anak kucing berusia lapan minggu sambil ketawa di sebuah kediaman yang
terletak di Isle of Sheppey, di sini.
Walau bagaimanapun, kedua-dua remaja itu ditangkap dan didenda
sebanyak 85 pound (RM425) selepas aksi mereka dilapor kepada polis.
Mereka turut diarahkan bertemu panel khas bagi memastikan tidak
terlibat dalam perlakuan sedemikian selama sembilan bulan lagi dan tidak
layak memelihara haiwan selama setahun, selepas mengakui kesalahan
tersebut di Mahkamah Belia Maidstone.
Ketua Inspektor Persatuan Diraja Membanteras Jenayah Kekejaman
terhadap Haiwan (RSPCA), Steve Dockery berkata, rakaman itu sangat
mengejutkan ramai pihak.
"Paling membimbangkan apabila remaja tersebut menganggap perbuatan mereka melucukan.
"Penderaan haiwan bagi tujuan hiburan tidak boleh dipandang ringan,
tambahan lagi disebarkan di dalam laman sosial, seolah-olah mengatakan
perbuatan tersebut boleh diterima," katanya.
Walau bagaimanapun, anak kucing tersebut terselamat dan kini ditempatkan bersama penjaga baharu yang menjaganya dengan baik.
Doktor haiwan yang melakukan pemeriksaan tersebut mendapati anak
kucing itu hanya mengalami tekanan dan menakjubkan apabila tidak
mengalami kecederaan fizikal yang teruk.
Seorang lagi rakan kepada dua remaja yang bertanggungjawab merakamkan
aksi itu mengaku tidak bersalah dan dijangka dibicarakan pada satu
tarikh yang tidak dinyatakan. - AGENSI
No comments:
Post a Comment