Thursday 3 January 2013

Malaysia negara pilihan pesara


WATERFORD, Ireland 3 Jan. - Sebuah laman web mengenai gaya hidup, InternationalLiving.com, menamakan Malaysia sebagai antara negara paling murah untuk pesara tinggal di dunia.

Menurut pengarang laman web itu, sepasang suami isteri yang sudah bersara, hanya memerlukan wang mininum AS$1,076 (RM3,228) sebulan untuk menetap di Malaysia.

"Dengan bajet AS$2,000 (RM6,000) sebulan, sepasang pesara boleh hidup mewah di Malaysia, yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara,'' kata pengarang laman web itu.

Laporan itu menyatakan, satu beg penuh mengandungi buah-buahan segar termasuk mangga, pisang, epal, oren dan nanas hanya berharga AS$4 (RM12) di Malaysia dan kos makanan untuk dua orang pula hanya sekitar AS$10 (RM30).

"Pakej Internet jalur lebar pula boleh didapati dengan kos AS$30 (RM90) sebulan, manakala pakej televisyen kabel pula hanya berharga AS$40 (RM120) sebulan,'' jelas laporan itu.

Menurut senarai negara paling murah untuk didiami selepas bersara oleh InternationalLiving.com, Nicaragua muncul lokasi bajet terbaik kerana hanya sebanyak AS$995 (RM2,985) diperlukan bagi sepasang pesara untuk perbelanjaaan dalam tempoh sebulan.

Berada di tempat ketiga adalah Ecuador, apabila pasangan pesara boleh menjalani kehidupan selesa dengan wang sara hidup kurang daripada AS$17,000 (RM52,700) setahun atau AS$1,415 (RM4,368.50) sebulan.

Panama menjadi negara keempat pilihan terbaik untuk pesara menetap dengan kos perbelanjaan bulanan sebanyak AS$1,865 (RM5,595), sementara Mexico di kedudukan kelima dengan kos belanjawan AS$2,129 sebulan (RM6,387). - AGENSI

No comments:

Post a Comment