'Jangan bereksperimen'
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Rakyat dinasihatkan agar tidak bereksperimen
untuk menukar kerajaan serta terpedaya dengan janji-janji kosong
pembangkang yang mampu membuatkan negara ini tidak stabil dan
berkembang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mengambil
contoh beberapa janji pembangkang yang mahu mengubah negara ini kepada
negara berkebajikan seperti pendidikan percuma, pemansuhan tol,
meningkatkan subsidi petrol dan royalti minyak, semua janji itu akan
meletakkan negara dalam keadaan bahaya.
Menurutnya, idea-idea itu pernah cuba dilaksanakan oleh negara-negara sosialis dan komunis, tetapi semuanya gagal.
Realitinya, semua kerajaan perlu wang untuk pembangunan selain
memberi subsidi kepada rakyat. Tetapi jika sesebuah kerajaan
mengorbankan cukai, tol dan yuran, kerajaan akan kekurangan wang. Dan
dalam masa sama, kerajaan itu perlu membelanjakan wang untuk kemudahan
awam, lebuh raya, sekolah, hospital, kos operasi dan pembangunan, pencen
serta subsidi-subsidi lain.
Jadi, di manakah kerajaan mahu mendapatkan dana yang diperlukan?
Boleh sahaja membuat pinjaman jika wang itu dilabur dan memberi pulangan
untuk membayar semula pinjaman. Tetapi jika pinjaman dilakukan hanya
untuk perbelanjaan, ia tidak akan mampu melangsaikan hutang, katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaharu di blognya, http://chedet.cc hari ini.
Beliau berkata, dalam kempennya untuk kembali memegang takhta
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pernah menjanjikan beberapa
perubahan seperti menutup kem tahanan AS di Teluk Guantanamo selain
menamatkan operasi ketenteraan di Iraq dan Afghanistan.
Namun jelasnya, segala janji-janji itu gagal dilaksanakan.
Membuat janji semasa berkempen cukup mudah. Sekarang ini,
pembangkang di negara ini cuba meniru rentak Obama dan menjanjikan
perubahan. Mereka kata, berilah mereka peluang kerana Barisan Nasional
(BN) telah mentadbir negara ini selama 55 tahun.
Memang diakui BN telah mentadbir negara ini sejak merdeka. Tetapi
bandingkanlah Malaysia dengan negara-negara lain yang sama mencapai
kemerdekaan. Bandingkan dengan negara-negara membangun di Barat. Mereka
kini berdepan masalah kewangan dan tidak mampu mengatasi krisis,
tegasnya.
Beliau kemudiannya mengajak rakyat mengimbau kembali krisis kewangan yang melanda dunia sekitar 1997 dan 1998.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu
cuba menggunakan penyelesaian Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tanpa
pinjaman IMF.
Bank dan syarikat berdepan dengan ancaman kebankrapan. Kos import
meningkat manakala kos sara hidup melonjak. Rekod Menteri Kewangan itu
buruk walaupun beliau sering mendakwa kejayaan yang dibawa oleh orang
lain itu sebagai kejayaannya.
Kini sebagai pemimpin pembangkang, beliau mendakwa mahu membawa
perubahan. Apakah perubahan terbaik yang diperkenalkannya sepanjang
berada dalam kerajaan? Apa yang diminatinya hanyalah meniti tangga
kepimpinan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri, ujarnya.
Atas dasar itu katanya, rakyat tidak seharusnya terpedaya seperti
mana beliau sendiri terpedaya dengan gaya pemimpin berkenaan suatu
ketika dahulu.
Memberi tempoh lima tahun kepada pembangkang sebagai kerajaan cukup
bahaya. Banyak perkara boleh musnah dalam tempoh itu. Mereka yang
kononnya berjuang kebebasan bersuara tetapi sering kali mengambil jalan
mahkamah untuk menutup mulut pengkritiknya, tambahnya.
No comments:
Post a Comment