KUALA LUMPUR, 15 FEB 2013: Kemunculan Dato’ Siti Nurhaliza di majlis
sidang media “Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza” sempena Minggu
Setiausaha di Hotel Royale Chulan semalam memang amat dinantikan ramai
pihak. Penyanyi hebat tersebut telah tampil di sidang media sempena
Minggu Setiausaha setelah berhijrah yakni bertudung litup pada tanggal
kelahirannya pada 11 Januari 2013 yang lalu.
Dato’ Siti Nurhaliza, 34, menjelaskan bahawa dia kini merasa lega
apabila hajatnya untuk berhijab penuh telah berjaya direalisasikan. Niat
sucinya itu tercetus sesudah dia dan suami, Dato` Khalid mohd Jiwa atau
Dato` K pulang daripada mengerjakan ibadah Haji beberapa tahun yang
lalu.
“Dah lama Siti memasang niat untuk bertudung penuh tetapi disebabkan
komitmen kerja, Siti cuba sempurnakan ia secara perlahan-lahan. Siti
juga terpaksa ambil sedikit masa untuk tunaikan niat tersebut.
“Semua umum pun tahu yang Siti bukan sahaja perlu menyanyi malah
menari dan pelbagai lagi. Jadi untuk bertukar atau berhijrah, ia
memerlukan masa dan waktu yang sesuai untuk melakukannya. Alhamdulilah,
pada harijadi Siti yang ke-34 bulan lepas, atas doa daripada semua,
akhirnya telah sampai masanya untuk Siti berhijrah.
“Secara kebetulan, hari tersebut pula jatuh pada hari Jumaat,
penghulu segala hari dan berdekatan dengan Maulidur Rasul,”ceritanya
mengenai titik tolak permulaan untuk bertudung litup.
Setelah berhijrah, Dato’ Siti Nurhaliza mengakui merasakan lebih
lengkap dengan imej terbaru itu. Walaupun begitu, penyanyi tersebut
tetap berharap masyarakat umum akan dapat melihat dirinya sebagai
seorang penyanyi yang mempunyai komitmennya tersendiri.
“Kalau cakap pasal perasaan, Siti merasakan ianya sudah lengkap dan
tercapailah niat Siti selama ini untuk bertudung penuh. Siti menghargai
setiap saat serta pengalaman yang dilalui ketika sebelum pakai tudung,
berselendang dan kini bertudung penuh.
“Tetapi Siti tahu Siti masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki
walaupun sudah bertudung penuh. Siti masih akan menyanyi dan membuat
persembahan kerana ianya berkaitan dengan komitmen kerja. Sebab itu Siti
katakan, walaupun Siti sudah bertudung. namun masih ada lagi
kekurangannya dan berharap Siti akan dapat memperbaikinya sedikit demi
sedikit.
“Selebihnya Siti hanya mengucapkan syukur Alhamdulillah apabila hajat yang diimpikan selama ini telah tercapai,”tambahnya lagi.
Dia turut diminta mengulas tentang stail tudung yang digayakannya
kini akan menjadi ikutan serta trend buat mereka yang berhijab, namun
dia tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sebarang tudung
dibawah jenama namanya.
“Ada yang minta Siti buat tutorial mengenai cara pemakaian tudung
Siti yang sekarang ini. Tiada cara khusus sebenarnya, jika ada yang
berminat boleh menghubungi pereka fesyen Siti untuk mendapatkannya.
“Siti pun belum terfikir untuk mengeluarkan sebarang koleksi tudung
seperti tudung Siti Nurhaliza buat masa ini,”ulasnya mengenai trend
pemakaian tudungnya yang dijangkakan bakal menjadi ikutan.
No comments:
Post a Comment