KUALA TERENGGANU 13 Feb. - Ketua Dewan Ulama Pas,
Datuk Harun Taib menegaskan beliau tidak rela Pengerusi DAP, Karpal
Singh campur tangan dalam urusan Majlis Syura Ulama parti itu.
Menurut Harun, Karpal tidak boleh campur tangan dalam urusan Majlis
Syura Ulama Pas walaupun Pas dan DAP berada dalam satu pakatan.
''Saya tak suka orang lain ataupun dia campur tangan.
''Saya harap Karpal jangan lagi campur tangan hal dalaman Majlis
Syura Ulama. Saya pun malas nak melayan dia," tegasnya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal yang menganggap dakwaan
Majlis Syura Ulama menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) sebagai spekulasi semata-mata.
Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai penolakan Majlis Syura
Ulama parti itu berkaitan pelantikan Anwar yang juga Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang
berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Karpal juga mahu Majlis Syura Ulama Pas menghormati keputusan bersama
yang dicapai oleh pemimpin pakatan pembangkang tentang isu penggunaan
kalimah Allah oleh bukan Islam.
Selain kenyataannya hari ini, pada 3 Februari lalu Harun turut
menyanggah tindakan Karpal apabila Pengerusi DAP itu cuba mengarahkan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan
Majlis Syura Ulama Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut
agama lain.
Harun menegaskan, Karpal tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman
parti lain dan dalam masa sama mempertikaikan kelayakan Ahli Parlimen
Bukit Gelugor itu memberikan pandangan dalam isu tersebut.
Harun seterusnya berkata, soal siapa yang bakal menjadi Perdana
Menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang
bergantung kepada sokongan serta populariti seseorang calon, tidak kira
sama ada Anwar atau Abdul Hadi.
Beliau meminta semua pihak supaya 'bersabar' dan menunggu
berlangsungnya pilihan raya umum untuk mengetahui siapa sebenarnya
paling layak menjadi pemimpin nombor satu negara nanti.
"Sebenarnya saya tak boleh jawab sekarang. Kita tunggu pilihan raya
nanti. Yang pasti, calon yang menjadi Perdana Menteri adalah berdasarkan
populariti.
"Siapa yang dapat sokongan ramai atau paling popular, tak kira Anwar
atau Abdul Hadi, dialah yang akan menjadi Perdana Menteri," katanya.
* sedar2 la Karpal Karam. Org PAS sendiri pun tak nak ko busy body, yg ko sebok apa hal???
No comments:
Post a Comment