Beri undi kepada Pas haram?
TUMPAT 12 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) di negeri ini yang dianggotai para ulama, tok guru
pondok, imam dan ustaz muda membuat pengisytiharan bahawa memberi undi
kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah haram.
Pertubuhan itu iaitu Minda Pondok, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah
Air (Ummati), Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK) dan Pendita
turut menegaskan bahawa perjuangan menentang Pas adalah jihad kerana
mengundi parti itu bermaksud menyokong DAP yang merupakan parti cauvinis
yang menolak Islam dan memperjuangkan sekularisme.
Sehubungan itu, kesemua NGO berkenaan yang diwakili pemimpin
masing-masing berjanji akan menyediakan satu dokumen lengkap berhubung
pengisytiharan tersebut untuk diberikan kepada raja-raja Melayu dan
Majlis Fatwa Kebangsaan agar dapat dibincangkan dan menyelesaikan
kekeliruan yang ditimbulkan oleh Pas selama ini.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah yang juga Penasihat
Minda Pondok berkata, kegagalan Pas mempertahankan Islam terutama
penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tidak boleh dimaafkan
sama sekali, malah demi politik para pemimpin Pas seolah-olah jahil
agama.
"Membiarkan kalimah Allah digunakan seperti itu berdosa dalam hukum.
Maknanya kita mesti mempertahankan kalimah Allah dan akidah orang Islam,
dalam pilihan raya umum kita mahu perdana menteri dan timbalannya orang
Islam maka di sinilah kita berjihad, kita jangan undi Pas.
"Saya bercakap mempertahankan kalimah Allah, saya rujuk empat kitab
mazhab, kitab tafsir, kitab fekah dan banyak lagi rujukan. Boleh
dikatakan menyeluruh kitab saya rujuk tetapi mereka tuduh saya jahil.
"Kesemua kitab ini menyebut bahawa kalimah Allah tidak boleh
disekutukan, tidak boleh digunakan selain untuk agama Islam dan untuk
mendaulatkan Islam. Ia adalah kalimah suci jadi kenapa kata saya jahil,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdullah, Pas juga perlu ditolak kerana menyatakan sokongan
padu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut
menyokong hasrat DAP meskipun bertentangan dengan keputusan Majlis Syura
Ulama Pas.
"Orang seperti Anwar ini kami orang pondok tidak boleh terima kerana
terlalu nyata kepada kami satu daripada itu (perjuangan Anwar) adalah
membenarkan kalimah Allah (digunakan oleh bukan Islam)," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz
berkata, kerjasama Pas dalam pakatan pembangkang yang kononnya atas
nama tahaluf siyasi sebenarnya pada nama semata-mata, sebaliknya apa
yang berlaku adalah Pas hanya kuda tunggangan DAP.
"Tahaluf siyasi Pas adalah haram maka wajib kita menolak mereka atas
beberapa fakta antaranya Pas bukan parti dominan dalam pakatan dan
kerajasama itu dibuat dengan parti DAP yang kita tahu menolak penubuhan
kerajaan Islam.
"Sebelum bertahaluf siyasi, perjuangan Pas adalah menubuhkan negara
Islam, ingin melaksanakan hudud, persaudaraan sesama Islam tetapi
selepas itu matlamat mereka berubah iaitu mahu kerajaan berkebajikan,
hudud bukan lagi agenda utama dan mendoakan kemusnahan sesama Islam.
"Tahaluf siyasi yang sebenar telah jelas kita lihat dalam Barisan
Nasional (BN) iaitu UMNO adalah 'imam' manakala MIC dan MCA adalah
'makmum' yang akan bersama-sama berjuang atas arahan imam," tegasnya.
Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang
pula berkata, permintaan DAP supaya kalimah Allah digunakan oleh orang
bukan Islam sama seperti yang berlaku di Indonesia apabila ramai
masyarakat Islam negara itu menyokong pemikiran sekular.
Beliau memberikan contoh sebuah video yang dimasukkan ke dalam laman
Youtube bertajuk 'Bible dalam bahasa Arab' yang dirakam di Institut
Teologi Kalimatullah di Jakarta tentang bagaimana seorang pelajar
Kristian membaca Bible dalam bahasa Arab di sebuah gereja.
"Gerakan ini sebenarnya sudah bermula berpuluh tahun dulu dan perkara
sama kini cuba dibawa masuk ke Malaysia secara senyap-senyap tanpa kita
sedari.
"Gerakan ini berjaya di Indonesia yang rakyatnya kira-kira 300 juta
orang, jadi bayangkanlah jika kita membiarkan mereka bergerak di
Malaysia pasti lebih mudah kerana rakyat kita cuma kira-kira 28 juta,"
tambahnya.
No comments:
Post a Comment