Tuesday 12 February 2013

Sokong DAP ibarat terjun gaung


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Orang Melayu yang menyokong DAP disifatkan sebagai ‘terjun ke dalam gaung’ kerana pendirian parti itu yang tidak pernah menjunjung dasar-dasar Islam serta kedudukan masyarakat bumiputera di negara ini.

Setiausaha Agung Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Hasan Hamzah berkata, orang Melayu perlu bersatu-padu menolak DAP kerana dasar parti itu yang begitu cauvinis selain bercita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

“Jangan ingat Malaysia tidak boleh menjadi negara republik macam Singapura, kalau Melayu terus berpecah, ini tidak mustahil. Jangan lupa, mereka ada kuasa duit, kekuatan kebendaan, mereka boleh beli pengaruh dan menjadikan orang Melayu macam ayam laga.

“Apa pun, perkara yang paling kita tidak rela ialah kesucian agama Islam dicabar. Isu kalimah Allah yang dibangkitkan DAP sudah cukup untuk membuka mata orang Melayu, sudah tiba masanya kita bersatu, kalau terlambat sudah tiada gunanya kerana nasi sudah menjadi bubur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan Jafrei Nordin, 41, sebagai Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu kerana mendakwa bekas majikannya daripada parti DAP itu mempunyai pandangan keterlaluan terhadap beberapa pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Menurut Hasan, masanya juga sudah tiba untuk Pas menamatkan pakatan dengan DAP kerana kerjasama itu hanya merugikan perjuangan Islam Pas yang telah banyak terhakis.

“Mempertahankan hak kesucian agama Islam adalah satu jihad, orang Melayu harus bersatu padu apabila kesucian agama Islam tercabar dan kita tidak boleh berganjak daripada pendirian ini," katanya.

Katanya, orang Melayu juga perlu membuka mata mengenai UMNO kerana parti itu kini diterajui oleh pemimpin generasi baharu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gigih membawa pelbagai program transformasi di negara ini serta mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum melalui gagasan 1Malaysia.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, beliau yakin tindakan Jafrei itu mempunyai persamaan dengan pendirian bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang begitu kecewa dengan sikap cauvinis DAP.

“Ronnie Liu juga tidak sensitif dan begitu lantang menyokong penjualan arak di Selangor sehingga tidak menghormati Pas sebagai parti komponen pakatan dan mungkin juga mengakibatkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat daripada parti," katanya.

Katanya, orang Melayu sewajarnya bersatu menolak DAP serta parti-parti pembangkang lain kerana kekuatan perpaduan orang Melayu hanya akan terhakis akibat perpecahan sesama mereka.

No comments:

Post a Comment