Pinjaman Mara 13 penuntut Orang Asli ditukar jadi pinjaman - PM
SERI ISKANDAR 15 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang diberikan kepada
13 penuntut Orang Asli yang kini melanjutkan pengajian di luar negara
ditukar kepada biasiswa.
Berita gembira tersebut yang menjadi pembakar semangat anak-anak muda
dari kaum itu diumumkan oleh Perdana Menteri semasa berucap di hadapan
15,000 Orang Asli pada Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama YAB
Perdana Menteri serta pelancaran program Mengubah Destini Orang Asli di
Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.
"Saya berharap ia (pengumuman itu) akan mendorong lebih ramai anak Orang Asli untuk berjaya," katanya.
Selain itu, Najib, yang menerajui pentadbiran kerajaan pimpinan
Barisan Nasional (BN), turut memberi komitmen akan membina 1,000 unit
rumah kepada masyarakat Orang Asli dalam tempoh dua tahun melalui
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Menyentuh aspek pendidikan berkualiti untuk setiap rakyat di negara
ini yang begitu dekat di hatinya, Najib mahu jumlah 450 anak Orang Asli
yang kini menuntut di institut pengajian tinggi awam ditingkatkan
kepada 1,000 melalui program Mengubah Destini Orang Asli dalam tempoh
terdekat.
"Jangan fikir mengenai peruntukan, jika tidak cukup kerajaan akan tambah," katanya.
Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan surat tawaran pendidikan
dan elaun di bawah program Mengubah Destini Orang Asli kepada 10
penerima.
Program Mengubah Destini Orang Asli itu diperkenalkan oleh UiTM untuk
memberi peluang untuk anak masyarakat Orang Asli melanjutkan pelajaran
ke peringkat lebih tinggi.
Ia bakal menyumbang kepada pelan transformasi pendidikan Orang Asli
yang menggariskan tujuh inisiatif baharu sebagai usaha untuk
mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli seiring dengan kemajuan rakyat
Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment