KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kenyataan Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng kononnya parti itu memperjuangkan Islam dianggap
sesuatu yang melucukan dan hanya sandiwara demi meraih undi orang
Melayu.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata,
beliau tidak faham kenapa Guan Eng sanggup membuat kenyataan itu
sedangkan tindak-tanduk DAP sebelum ini jelas 'melukakan' perasaan umat
Islam termasuk berhubung isu kalimah Allah.
"Mustahil DAP perjuangkan Islam. Semua itu pembohongan demi memancing
undi orang Melayu. Saya juga tidak faham bagaimana pemimpin-pemimpin
Pas boleh mendiamkan diri dan membiarkan Guan Eng bercakap sesuka hati
tentang Islam.
"Saya rasa sungguh lucu dan marah dengan kenyataan 'bodoh' Guan Eng,
nampaknya sekarang orang bukan Islam pun boleh perjuangkan Islam di
negara ini. Hebat sungguh," katanya secara sinis ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Guan Eng semalam dalam konvensyen pakatan
pembangkang yang menegaskan DAP juga berperanan dalam menegakkan Islam
di negara ini.
Menurut Tunku Aziz, adalah mustahil bagi DAP memperjuangkan Islam
atau kebajikan orang Melayu kerana parti tersebut seringkali menjaga
kepentingan satu kaum sahaja.
"Tidak mungkin parti cauvinis seperti DAP boleh memperjuangkan Islam
atau menjaga kebajikan orang Melayu. Jangan terus biarkan diri dibohongi
demi kesinambungan sesetengah parti politik," tegasnya.
Tunku Aziz turut memberi amaran kepada DAP supaya tidak berterusan
'mempergunakan' orang Melayu atau agama Islam sebagai modal politik
dalam perjuangan parti itu.
Menurutnya, DAP akan terus menggunakan Islam sebagai pertaruhan bagi
mendapat sokongan orang Melayu demi kelangsungan politik parti itu.
Jelasnya, jika benar Guan Eng dan DAP menghormati agama Islam,
pemimpin itu tidak akan mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah
Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
"Janganlah memperbodohkan orang Melayu dengan menggunakan Islam
sebagai pertaruhan politik DAP. Saya harap orang Melayu juga tidak
terjebak dengan tindakan DAP mempermainkan isu agama Islam.
"Bukan saya tidak tahu, Islam dan orang Melayu memang 'permainan
DAP'. Selama ini pun DAP tidak pernah memperjuang dan menyokong Islam.
Apa yang Guan Eng dan DAP laungkan sekarang sama seperti cakap tidak
serupa bikin," katanya.
Berikutan itu, Tunku Aziz sekali lagi meminta umat Islam berhati-hati
dalam menghadapi taktik dan permainan kotor politik DAP terutama
membabitkan isu orang Melayu dan Islam.
Tambah beliau, orang Melayu perlu melihat nasib yang menimpa kaum
sendiri di Pulau Pinang sebelum mempercayai kata-kata Guan Eng.
"Dulu sebelum dapat Pulau Pinang memanglah DAP janji hendak membela
orang Melayu, tetapi pembelaan mereka hanya dengan pemberian wang RM100.
Selepas itu tengoklah apa jadi dengan orang Melayu di sana," katanya.
No comments:
Post a Comment