SEMPORNA 12 Feb. - Penyanyi berbangsa Dusun, Jimmy Palikat yang
mempopularkan lagu etniknya, 'Anak Kampung' disifatkan lebih besar
jasanya berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianugerahkan gelaran
Huguan Siou yang bermaksud pemimpin agung dalam kalangan etnik Kadazandusun Murut (KDM) Sabah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, gelaran
itu hanya khusus untuk pemimpin tertinggi KDM sahaja dan beliau secara
sinis mempersoalkan bila masanya Ketua Pembangkang itu menjadi
sebahagian daripada etnik terbesar di Sabah itu.
"Ini merupakan helah dan gimik politik mereka semata-mata. Apa jasa
dan perjuangan Anwar untuk daulatkan etnik KDM di negeri ini. Saya
percaya orang KDM amat bijak untuk menilai siapa sebenarnya yang banyak
membantu mereka selama ini.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih besar jasanya
berbanding Anwar, malah Najib bukan sahaja membela nasib KDM tetapi
seluruh rakyat di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulas
tindakan Parti Keadilan Rakyat Cabang Ranau semalam yang
menganugerahkan gelaran Huguan Siou Malaysia kepada Anwar semasa
pemimpin itu melawat Kampung Paginatan, Ranau dekat sini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment