Wednesday 27 February 2013

YE KE FITNAH? AKU TAK PERCAYA....

Fitnah samakan BR1M bantuan Firaun

KOTA BHARU 26 Feb. - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat oleh kerajaan tidak sepatutnya dijadikan modal politik apatah lagi mengaitkannya dengan zaman Firaun.

Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Ilmuwan Kelantan (ICIK), Drs. Mohd. Zawawi Awang berkata, bantuan tersebut dilaksanakan berlandaskan dasar transformasi negara yang melibatkan rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan lakukan segala-galanya untuk rakyat mengikut kemampuan berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
 
"Dari sudut ilmiah tidak nampak justifikasi boleh dikaitkan pemberian BR1M oleh Kerajaan Pusat dengan BR1M Firaun yang dikatakan menggunakan kekayaan untuk menyesatkan rakyat malah satu fitnah besar melemparkan tuduhan tanpa asas.

"Apa yang jelas kepada kita hari ini ialah bantuan tersebut diagih sama rata tanpa mengira fahaman politik dan diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya bagi orang miskin dan masyarakat yang berpendapatan rendah," katanya ketika menyampaikan ceramah isu semasa di kampung Mentuan dekat sini malam tadi.

Ceramah anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mukim Mentuan itu turut menyaksikan penceramah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam mengkritik bantuan BR1M kononnya turut diberikan Firaun kepada rakyat pada zaman dahulu.

"BR1M bukan perkara baru, Firaun pernah bagi bantuan, kekayaan itu digunakan untuk menyesatkan rakyat, bukan membina rakyat," kata Abdul Hadi.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mengeluarkan kenyataan menyamakan usaha Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kepada mereka yang layak menerusi BR1M, seperti 'memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu'.

Mohd. Zawawi berkata, Pas tidak sepatutnya menjadikan bantuan BR1M sebagai modal politik untuk menyerang lawan kerana tidak melibatkan keistimewaan satu pihak.

Sementara itu, Mohd. Syamsul berkata, kedudukan Pas kini semakin terdesak berikutan kegagalannya memacu perubahan rakyat sehingga memaksa mereka mencanangkan persepsi negatif terhadap segala hasrat murni Kerajaan Pusat kepada rakyat.

"Ini merupakan satu racun fitnah yang diadunkan pembangkang setelah menyedari mereka sudah tidak mempunyai modal untuk berhadapan lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Oleh itu kita mesti berwaspada dengan dakyah parti yang menjadikan agama sebagai topeng semata-mata kerana ingin mengejar kuasa," katanya.
 
Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment