Friday 15 February 2013

BERITA SEDIH BUAT BAH TONY

Masyarakat Orang Asli sentiasa sokong kepimpinan BN

NAJIB Tun Razak (dua kanan) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli pada Majlis Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama YAB Perdana Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini. - BERNAMA
 
SERI ISKANDAR 15 Feb. - Masyarakat Orang Asli sentiasa menyokong kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mampu menjamin masa depan masyarakat itu sebagai sebuah kaum minoriti di negara ini.

Wakil Tok Batin Orang Asli, Sahar Husin berkata, walaupun jumlah masyarakat Orang Asli di Perak dilihat kecil iaitu kira-kira 54,000 namun sokongan terhadap kerajaan tidak perlu dipertikaikan.

Keselesaan yang dinikmati mereka pada hari ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan apatah lagi meminggirkan masyarakat Orang Asli seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Perdana Warga Orang Asli bersama Perdana Menteri dan pelancaran program Mengubah Destini Orang Asli di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

"Saya merasa terpanggil di sini untuk menyatakan demikian, kerana telah banyak pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh pihak kerajaan kepada masyarakat Orang Asli," katanya.

Katanya, ada suara nakal daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi Orang Asli dengan menimbulkan cerita tidak baik mengenai Program Mengubah Destini Orang Asli.

"Orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa, jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pihak tersebut yang cuba memundurkan masa depan Orang Asli yang akan ketinggalan.

"Kami (masyarakat Orang Asli) mahu hidup mewah, ada kereta dan rumah besar, jadi Orang Asli tidak perlu duduk diam dan perlu rebut peluang ini," katanya.

Beliau yang juga Tok Batin Kampung Lata Kinjang, Tapah berkata, masyarakat Orang Asli akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor UiT, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, institusi itu akan meneruskan Projek Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) dengan memberi lebih tumpuan kepada masyarakat Orang Asli agar mereka juga dapat bersama-sama mengecap nikmat berilmu, demi kelangsungan bangsa pribumi ini.

Katanya, sejak UiTM memulakan program itu pada 2010 sehingga kini, seramai 16,000 pelajar dalam kalangan anak yatim dan keluarga miskin mengikuti pengajian di peringkat pradiploma di semua kampus cawangan UiTM.

"Daripada jumlah itu 14,000 pelajar berjaya melayakkan diri menyambung pelajaran di peringkat diploma. Alhamdulillah dan InsyaAllah kumpulan pertama kohort tersebut akan bergelar graduan pada majlis konvokesyen tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kemasukan lebih ramai anak Orang Asli, penuntut daripada kaum lain akan berpeluang untuk lebih memahami sosiobudaya serta cara hidup masyarakat Orang Asli.

Cara hidup masyarakat Orang Asli yang sentiasa peka terhadap alam sekitar dan cintakan alam semula jadi adalah sesuatu yang amat penting untuk dipelajari dan dihayati oleh masyarakat lain di Malaysia bagi melestarikan pembangunan mampan di negara kita, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment