Berikut teks penuh kenyataan akhbar Hasan itu:
DAP SEBAGAI PENERAJU : HADI AWANG
DR. HASAN ALI... Presiden Jati Malaysia
SAYA terpanggil untuk memberi sedikit ulasan apabila membaca media
perdana hari ini mengenai kenyataan Presiden PAS Ust Hadi Awang yang
mengatakan bahawa adalah mustahil bagi DAP untuk memerintah atau
menerajui pemerintahan negara ini.
Ini disebabkan dari segi perkiraan kerusi yang ditandingi, DAP
dijangka hanya bertanding 50 kerusi parlimen daripada jumlah keseluruhan
220 kerusi.
Sememangnya dari segi angka DAP hanya sesuai bertanding kira-kira
satu perempat kerusi parlimen. Namun perlu diingat bahawa DAP bersama
dengan gabungan komponen parti-parti yang bukan Barisan Nasional
termasuk di Sabah dan Sarawak dilihat tidak mustahiluntuk memenangi
jumlah kerusi parlimen yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
Tetapi saya tidak mahu menumpukan perhatian kepada opsyen itu. Yang ingin saya tekankan di sini ialah:
a. Walaupun seperti yang disebut oleh Presiden PAS, DAP akan
bertanding 50 kerusi sementara PAS dan PKR mungkin masing-masing
bertanding dalam lingkungan 80 kerusi setiap satu parti. Ini sama
sekali tidak bererti bahawa bilangan kerusi yang banyak akan
mencerminkan kemenangan yang besar. Para pemerhati politik lebih
cenderung menganggarkan bahawa antara parti yang dijangka mencatat
kemengangan besar ialah DAP. Kalau DAP boleh memenangi 90% daripada
kerusi yang ditandingi dan PAS serta PKR dijangka memenangi jauh di
bawah paras 50%, sudah tentu DAP akan terus menjadi parti peneraju
dalam gagasan Pakatan Rakyat;
b. Daripada apa yang berlaku sekarang contoh seperti di
Selangor, DAP menduduki tempat kedua dari segi bilangan kerusi. PKR
tempat teratas dan PAS dengan 8 kerusi sahaja duduk di tempat terbawah.
Seperti yang dilaporkan, DAP dilihat menerajui Kerajaan Selangor hingga
dikatakan Menteri Besar Selangor sering berada di bawah telunjuk DAP.
Penyertaan PAS dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah
dianggap sebagai rakan kongsi setara oleh DAP.
Di Kedah pula, DAP hanya mempunyai satu kerusi sahaja. Tetapi hampir
semua isu Islam yang telah diputuskan oleh Menteri Besar dan Exco tidak
dapat dijalankan kerana ditentang hebat oleh wakil tunggal DAP itu. Ini
dilakukan dengan bantuan moral dan campur tangan langsung oleh pimpinan
DAP pusat.
c.. Di peringkat nasional pula,sehingga ini tidak ada satu
pun isu-isu besar melibatkan Islam dan Melayu yang ingin dijuarai oleh
PAS dapat dilaksanakan. PAS kalah bersabung dalam isu Kalimah Allah,
Negara Islam, Hudud dan isu murtad. Suara PAS hampir diketepikan
langsung dalam merangka dasar dan hala tuju Pakatan Rakyat seperti yang
terkandung dalam Buku Jingga dalamana isu Negara Islam, Hudud dan
kemartabatan bangsa Melayu tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam
buku tersebut.
Saya berpendapat tidak ada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat
secara berasingan dapat menubuhkan kerajaan termasuk PAS dan PKR. Yang
penting di sini bukan mana-mana parti boleh menubuhkan kerajaan, tetapi
parti yang manakah yang mempunyai kekuatan dan kemampuan pimpinan, daya
tahan dan daya juang memperjuangkan satu-satu isu, komitmen yang tinggi
hingga ke peringkat sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan
kesucian perjuangan, kebolehan dan kemampuan berhujah secara berfakta
serta keutuhan kesepaduan dan kesatuan barisan kepimpinan untuk
mendepani musuh-musuh politik dalaman dan luaran.
Apa yang dapat disaksikan sekarang sejak 5 tahun yang lalu PAS
semakin dipinggirkan. Bukan sahaja dipinggirkan tetapi dengan bongkak
dan sombong pimpinan DAP dan PKR memperkotak-katikkan PAS hingga ke
peringkat menghina intitusi agong dalam struktur parti PAS iaitu Majlis
Syura Ulama PAS dalam isu Kalimah Allah.
Lebih menyedihkan di negeri Musyidul Am sendiri peraturan kecil yang
telah berjalan sejak 21 tahun yang lalu melibatkan pendandan dan
penggunting rambut wanita yang tidak dibenarkan menggunting rambut
lelaki Muslim terpaksa ditawakufkan. DAP menggunakan Karpal Singh
menyelar kepimpinan PAS Kelantan dan menuntut supaya peraturan itu
dimansuhkan. Akhirnya kerajaan PAS pimpinan Tok Guru Nik Aziz tunduk
dengan tuntutan DAP itu.
Begitu juga yang berlaku di Kedah. Wakil tunggal DAP berjaya
membatalkan keputusan kerajaan negeri pimpinan Ust Azizan Razak seorang
ulama yang berstatus senior dalam saf kepimpinan PAS dalam isu
penutupan pusat hiburan dalam bulan Ramadhan dan juga isu papan iklan.
Kenyataan Presiden PAS yang dilaporkan hari ini mungkin boleh
diterima oleh ahli dan penyokong parti yang hanya mendapat informasi
daripada akhbar Harakah atau Harakah daily atau hanya
mendengar ceramah-ceramah daripada pimpinan PAS dan Pakatan Rakayat
sahaja. Andainya mereka dapat membuka ruang minda dengan cuba
mendekatkan diri kepada sumber-sumber informasi samada melalui media
elektronik, media cetak atau yang popular di akhir-akhir ini media
sosial sudah tentu mereka dapat menilai kenyataan Presiden PAS itu
dengan lebih objektif dan berpijak di bumi nyata.
Hakikatnya, DAP sejak 5 tahun yang lalu telah berjaya menggunakan
seluruh kesempatan dan ruang untuk menonjolkan falsafah perjuangan parti
tersebut. Dalam apa keadaan pun yang jelasnya DAP adalah pihak yang
dikatakan meraih kemenangan hingga berjaya menjadi tulang belakang
kepada Pakatan Rakyat. Begitu juga halnya dengan PKR. Yang tewas di
gelanggang hujah dan yang tewas di gelangang perjuangan khususnya untuk
mempertahankan asas-asas perjuangan parti tidak lain tidak bukan ialah
PAS.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
20 Februari 2013
No comments:
Post a Comment