Tuesday 12 February 2013

MEMANG STRATEGIK!!!

Rakan strategik terbaik Pas ialah UMNO

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Unsur sekularisme, pluralisme dan liberalisme yang didakwa didukung pakatan pembangkang menjadikan UMNO satu-satunya rakan strategik politik bagi Pas dalam memartabatkan Islam sebagai panduan dan dasar negara ini.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, oleh yang demikian, Majlis Syura Ulama Pas perlu membuat ketetapan tegas agar parti berlabel Islam itu segera meninggalkan pakatan pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Pas selama ini telah tersilap langkah untuk bersama Parti Keadilan rakyat (PKR) dan DAP dengan mengangkat Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka kerana beranggapan beliau mampu menarik perhatian masyarakat bukan Melayu serta Islam bagi menyokong pembangkang.

"Dalam pada Pas turut serta mempromosi Anwar sebagai Perdana Menteri, mereka lupa fahaman Anwar sebagai Penasihat PKR amat berbeza dengan Pas kerana Pas mahu memartabatkan Islam sedangkan Anwar ialah seorang sekular dan berfahaman liberal. 

"Dalam perlembagaan PKR, PKR tidak bercadang mendaulatkan Islam, apatah lagi DAP. Jika dilihat dalam Pas dan UMNO, perlembagaan kedua-dua parti itu jelas untuk memperjuangkan Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas sepatutnya sudah lama meninggalkan Anwar.

Kelmarin, sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa Majlis Syura Ulama baru-baru ini mengadakan perbincangan tertutup bagi memilih calon lain untuk menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya kelak.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan khabar tersebut.
Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din pula mengesahkan ada bertemu Anwar baru-baru ini tetapi mendakwa pertemuan itu merupakan perjumpaan biasa di antara dua individu tanpa berkait politik kepartian.

No comments:

Post a Comment