Beri peluang calon muka baru, terus sokong jika tidak terpilih
SAYA berasa amat terpanggil untuk menyampaikan ucapan tahniah dan
syabas kepada Datuk Raja Ideris Raja Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Sungai Air Tawar, Selangor yang menyatakan secara terbuka untuk
tidak lagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). (Rujuk Utusan Malaysia, 5 Februari 2013).
Beliau yang telah menjadi wakil rakyat selama lima penggal berkata,
sudah tiba masanya untuk beliau berundur bagi memberi laluan kepada muka
baru dalam menggalas mandat Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi
tersebut.
Seterusnya Raja Ideris menyatakan, beliau bersedia memberi apa juga
sokongan, bantuan dan bimbingan kepada pelapisnya, satu pengakuan yang
sungguh mulia dan amat wajar dihargai serta dicontohi wakil rakyat yang
lain.
Sungguh amat bertuah sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, yang juga pemimpin tertinggi BN jika mempunyai ramai lagi wakil
rakyat seperti Raja Ideris. Ini khususnya daripada kalangan veteran
parti yang masih lagi menjadi wakil rakyat dan menjadi ketua bahagian
yang rela secara jujur mengemukakan hasrat untuk tidak dicalonkan lagi.
Pernyataan hasrat seperti ini memberi peluang kepada Najib
merealisasikan hasrat beliau untuk menjayakan program transformasi
secara menyeluruh tanpa banyak rintangan.
Konflik mungkin timbul apabila pemimpin-pemimpin yang dikenali sebagai 'warlord'
atau orang-orang besar parti yang didapati sudah lebih tiga dekad
tetapi masih lagi ingin mempertahankan kerusi mereka kerana mendakwa
mereka adalah 'winnable candidates' yang masih diterima rakyat.
Tidak dinafikan mereka ini memang mempunyai jasa yang besar. Namun
hakikat yang perlu disedari adalah pola politik di seluruh negara sudah
banyak berubah yang dengan jelas menunjukkan kuasa penentu pilihan raya
kini ditentukan oleh pengundi muda.
Justeru, kini adalah masa untuk pemimpin-pemimpin generasi baharu
diterima tanpa prejudis sejajar dengan program transformasi yang sedang
digerakkan oleh Perdana Menteri.
Melihat kepada perkembangan politik terkini, kita sangat yakin dan
percaya bahawa setiap calon BN yang ditentukan oleh Najib selaku ketua
parti dan negara, Insya-Allah mereka adalah 'winnable candidates' yang bakal menentukan kemenangan 2/3 kepada BN pada PRU-13 nanti.
Syaratnya, para wakil rakyat kita dan para pemimpin di peringkat
bahagian yang sudah berdekad-dekad merasai nikmat berada di kemuncak
kegemilangan hidup mereka, sanggup mencontohi langkah yang diambil oleh
Raja Ideris.
Semoga Allah menganugerahkan hidayah dan taufik kepada
pemimpin-pemimpin kita yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan parti demi
agama, bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment