PUTRAJAYA 11 Mac - Balu dan ahli keluarga lapan
anggota keselamatan negara yang terkorban dalam pertempuran dengan
pengganas Sulu melahirkan rasa syukur terhadap usaha kerajaan dan pihak
prihatin yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada mereka.
Balu kepada mendiang Asisten Supritendan Michael Padel, Jabah Mingku Voon,
36 berkata, dia dan ahli keluarganya sangat berterima kasih kepada
kerajaan dan rakyat negara ini yang sentiasa memberi kata-kata semangat
dan bantuan ketika melalui detik-detik sukar sekarang.
Katanya, dorongan semangat itu memberikan kekuatan kepadanya untuk
bangkit dan seterusnya membesarkan satu-satunya anaknya hasil
perkahwinan dengan mendiang.
"Saya perlu kuatkan semangat demi anak lelaki kami, Mc Loie, 11, yang saat ini sangat memerlukan kasih sayang seorang bapa.
"Selepas ini saya akan memberikan pelajaran yang baik kepada dia
seperti yang dicita-citakan oleh bapanya yang mahukan dia menjadi orang
berguna," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tahlil, Solat Hajat dan
Tazkirah di Seri Perdana di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai lapan ahli keluarga anggota keselamatan
negara yang terkorban menerima sumbangan dari Badan Amal Kebajikan dan
Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) sebanyak
RM20,000 seorang oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Semua balu anggota yang terkorban hadir pada majlis itu kecuali balu
kepada Sarjan Baharin Hamit, ASP Zulkifli Mamat dan Koperal Mohd. Azrul
Tukiran yang diwakili ibu dan bapa masing-masing.
Dalam pada itu, abang kepada Mohd. Azrul, Mohd. Azizi Tukiran,
30, melahirkan penghargaan kepada Bakti terhadap bantuan itu dan ibunya
berhasrat mendermakan sumbangan tersebut kepada badan kebajikan, surau
dan anak yatim.
Sementara itu, ibu kepada Baharin, Jariah Abu, 65, bersyukur jenazah anaknya dapat diuruskan dengan sempurna biarpun tidak berpeluang menatap wajah terakhir Allahyarham.
Katanya, dia berharap balu kepada anaknya itu dapat membesarkan
kedua-dua cucunya, Muhd. Izzat Syafiq dan Nur Syafiqah dengan sempurna.
"Pada hari kejadian makcik tidak dapat pergi kerana menetap di Cheras
manakala jenazah disemadikan di Tuaran dan pada masa itu juga makcik
pengsan sebaik mendengar berita sedih itu.
"Bagaimanapun, makcik reda dan berdoa kepada Allah SWT supaya cucu saya dipelihara dengan baik," katanya.
No comments:
Post a Comment