Hargai pengorbanan perwira negara
KUALA LUMPUR 25 Mac - Seluruh rakyat dan kerajaan
menghargai pengorbanan mutlak para perwira negara dalam kalangan
anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
ketika menentang pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan dan
rakyat secara keseluruhannya menyanjung tinggi pengorbanan mereka dan
wajar menjadikan perjuangan pasukan keselamatan tersebut sebagai sumber
inspirasi dalam menjalani kehidupan harian.
Oleh yang demikian, katanya, kerajaan akan terus membela nasib dan
maruah pasukan keselamatan negara di sebalik tindakan sesetengah pihak
yang cuba memperlekehkan para perwira negara itu.
"Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia.
Walaupun ada pihak yang cuba memomok dan memperlekehkan PDRM dan ATM,
pihak kerajaan dan rakyat teramai terhutang budi dengan perjuangan anda.
"Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus membela maruah PDRM.
Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan para pegawai
dan anggota PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa
menepati janji," katanya dalam Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 di
sini hari ini.
Najib menambah, beliau yang mewakili kerajaan dan rakyat turut
mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada
PDRM yang selama ini terbukti setia kepada negara sejak zaman darurat,
era konfrontasi, tragedi 13 Mei, era insurgensi dan perang terhadap
keganasan kini.
Menurut beliau, Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini
iaitu sebagai sebuah sebuah negara perindustrian moden berpendapatan
sederhana tinggi tanpa keamanan hasil pengorbanan mulia para patriot
PDRM dan ATM.
"Tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa
ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta. Kita menyanjung tinggi
kepada 10 orang pahlawan negara, di mana lapan orang daripadanya adalah
anggota PDRM yang telah membuat pengorbanan mutlak," katanya.
Dengan menginsafi hakikat itu, katanya, kerajaan dari semasa ke
semasa sentiasa menambah baik skim perkhidmatan pasukan keselamatan
negara bagi menjamin kebajikan para pegawai dan anggotanya.
Sebagai contoh, katanya, mulai Januari lalu, kerajaan telah
menyetarakan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan PDRM dengan Perkhidmatan
Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji.
Dalam penyelarasan itu katanya, jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis
yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini
disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.
"Di samping itu, bagi mereka yang berjawatan konstabel hingga
koperal, kerajaan telah melaksanakan kaedah kenaikan pangkat berdasarkan
time-based dengan setiap anggota berjawatan konstabel akan
mengisi jawatan koperal dalam tempoh masa lapan tahun sahaja jika tiada
masalah.
"Ini merupakan satu pakej yang cukup bermakna kepada anggota-anggota
PDRM. Kita berharap langkah itu akan merangsang setiap anggota PDRM
untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai apa juga
yang telah kita tetapkan sebagai objektif yang perlu dilaksanakan.,"
katanya.
No comments:
Post a Comment