JASA DAN PENGORBANANMU DIKENANG:
Inilah Barisan perwira yang gugur dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.
Allahyarham Insp
Zulkifli bin Mamat berasal dari Kg Kubang Ikan, Tembila, Besut. Ibu
Allahyarham, Puan Khadijah bt Ismail (64 tahun) merupakan seorang ibu
tunggal dan Allahyarham adalah anak ke-3 daripada 5 orang adik beradik.
Isteri beliau, Noraziah bt Nor, merupakan seorang guru dan mereka
mempunyai 2 orang anak lelaki berumur 5 dan 1 tahun. Isteri Allahyarham
Insp Zulkifli kini sedang hamil anak yang ke-3.
Allahyarham
Kpl Sabaruddin bin Daud mempunyai 6 org adik beradik. Beliau yang
berasal dari Sabak Bernam, Selangor telah meninggalkan seorang balu,
Puan Nurul Nisah bt Abu dan 3 org anak yang berusia 19, 17 dan 13 tahun.
Allahyarham Supt Ibrahim bin Lebar, 52 tahun berasal dari Besut,
Terengganu dan bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman. Berkelulusan Ijazah
Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, Kubang
Kerian, beliau meninggalkan seorang balu Puan Rosiah bt Dahlan, 52 dan 3
orang anak masing-masing berusia 22, 20 dan 17 tahun. Jenazah dijangka
akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 20, Subang Jaya pada jam 9.00
malam ini.
Mendiang ASP Michael Padel, 36 tahun berketurunan Bidayuh dan berasal
dari Serian, Sarawak. Bertugas di Cawangan Khas IPD Semporna dan
meninggalkan seorang balu Puan Jabah a/p Mingku serta seorang anak
lelaki berusia 1 tahun. Jenazah mendiang akan dibawa pulang ke Kg
Bidayuh, Tebakang, Serian untuk disemadikan.
Allahyarham Sarjan Baharin bin Hamit, 49 tahun berasal dari Alor Gajah,
Melaka dan bertugas di Cawangan Khas IPK Sabah. Beliau meninggalkan
seorang balu, Puan Sumati binti Suarah, 50 tahun dan dua orang anak
berusia 16 dan 11 tahun. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Nur
Islam IPK Sabah dan akan dikebumikan di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada
jam lebih kurang 3.00 petang ini.
Allahyarham Sarjan Aziz bin Sarikon, 52 tahun bertugas di PGA Batalion
14 Semporna, Sabah. Beliau meninggalkan seorang balu, Sitti Banddorah Bt
Mahalil, 39 dan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan yang
masing-masing berusia 18, 15, 12 dan 7 tahun. Jenazah Allahyarham akan
disembahyangkan di IPD Semporna untuk dikebumikan.
Allahyarham L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, 27 tahun berasal dari Klang,
Selangor dan bertugas di Batalion 14, PGA Tawau. Beliau yang masih
bujang merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Jenazahnya
akan dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Jalan Teluk Kapas, Kampung
Rantau Panjang, Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan
Shapadu, Kg Panjang, Klang.
Allahyarham Kpl/S Salam bin Togiran, 42 tahun berasal dari Sandakan,
Sabah dan bertugas di IPD Tawau. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan
Marlinah binti Utan dan 4 orang anak berusia 16, 13, 11 dan 1 tahun.
Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 15, Jalan Apas,
Tawau.
Pemergian perwira-perwira negara ini akan dikenang oleh seluruh rakyat
Malaysia. Jasamu, baktimu, pengorbananmu akan teguh di sanubari rakan
seperjuangan dan menjadi azimat untuk terus berbakti kepada agama,
bangsa dan negara. Semoga keluarga perwira-perwira ini akan tabah dalam meneruskan kehidupan..
No comments:
Post a Comment