KUALA LUMPUR 4 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberikan
penghormatan terakhir ke atas jenazah dua anggota pasukan keselamatan
yang tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang
dekat sini hari ini.
Jenazah Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran dan Supritendan Ibrahim
Lebar selamat tiba dengan pesawat Charlie C130 pukul 6.35 petang.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
serta isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Ketua
Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Sultanah Johor, Raja
Zarith Sofia dan anakanda Sultan Johor, Tunku Laksamana Tunku Abdul
Jalil turut berkenan hadir memberi penghormatan.
Suasana pilu yang menyelubungi ketibaan jenazah pukul 6.35 petang itu
bukan sahaja disambut dengan linangan airmata kaum keluarga dan sanak
saudara terdekat bahkan dirasai lebih 500 pegawai dan anggota Polis
Diraja Malaysia (PDRM) yang sama-sama menanti di pangkalan udara
berkenaan.
Jenazah yang dibawa dengan pesawat Charlie C130 itu dibawa masuk ke ruang menunggu untuk diberikan penghormatan terakhir.
Doa dibaca dan di amin oleh hadirin sebelum kedua-dua jenazah dibawa
dengan van jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk pengebumian.
Jenazah Ibrahim dibawa ke rumahnya di Subang Jaya manakala Mohd.
Azrul dibawa ke Klang dengan diiringi kenderaan TUDM dan pasukan
keselamatan.
Jenazah Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22,
Subang Jaya, kira-kira pukul 10 malam manakala Mohd. Azrul di Tanah
Perkuburan Islam Jalan Shapadu, Kampung Rantau Panjang, Klang pukul 9.45
malam.
No comments:
Post a Comment