Sanggup hina Nabi untuk kepentingan politik
KUALA LUMPUR 30 Mac - Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan
akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi
Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.
Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot
berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut
perasaan.
"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga
terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh
keperibadian Rasullullah.
"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup
tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa
dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang
fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang
bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi
Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.
Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut,
Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som
menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih
hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan
keluarkan... jahanam UMNO."
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata,
tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang
memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.
"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda
Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh
menjatuhkan darjat suci Rasullullah.
"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita.
Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga
tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam,"
katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan
tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman
sosial tersebut.
No comments:
Post a Comment