PRU-13: Rakyat perlu bijak pilih kerajaan
DR. Mahathir Mohamad menjawab soalan ketika menjadi ahli panel
bersama Abdul Hamid Mohamad (kiri) dan Muhammad Ali Hashim.
|
KUALA LUMPUR 25 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu supaya
bijak menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum ini.
Menurutnya, walaupun sistem demokrasi 'menawarkan' hak untuk memilih,
mereka sewajarnya mampu membuat perbandingan khususnya parti atau
organisasi mana yang benar-benar bertanggungjawab serta mempertahankan
Islam.
"Apakah orang yang sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Melayu patut
memerintah negara? Dahulunya, pihak ini yang berkata bahawa bekerjasama
dengan orang kafir akan menjadikan kita kafir, tetapi kini mereka bukan
sahaja bekerjasama, hari jadi pun sambut di rumah orang bukan Islam.
"Akan datang, kalau kita silap, kita akan dapat kerajaan yang
merosakkan negara dan agama. Kalimah Allah pun boleh diguna oleh apa jua
agama. Apakah kita boleh terima itu? Kerana kepentingan politik,
ketepikan negara Islam dan diganti dengan negara berkebajikan. Hudud
pula ditangguhkan. Ini kerana apa? Ini hanya undi dan bukannya kerana
Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sempena Forum Negara: Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut menampilkan
dua lagi panel iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad
dan pakar wakaf korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Dr. Mahathir berkata, sebagai keutamaan, orang Melayu perlu menaruh
harapan kepada pihak yang telah lama berbakti kepada agama, bangsa dan
negara.
Menurut beliau, ini berbanding pihak tertentu yang sekadar mahu
merebut Putrajaya dan mendirikan kerajaan semata-mata atau pihak yang
hendak menjadi Perdana Menteri.
"Sebab itu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk kembali kepada
perjuangan asal iaitu demi agama, bangsa dan negara. Kita tak nampak apa
mereka boleh buat untuk kita.
"Namun, terpulanglah kepada kita. Cuma, kalau kita salah mengundi, kita tidak boleh salahkan sesiapa," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau ketika bercakap mengenai perpecahan
umat Melayu Islam berkata, perkara itu berpunca daripada sikap tamak
selain perbezaan pendapat dalam hal-hal berkaitan tafsiran agama.
"Waktu kita miskin, biasanya kita akan rapat sesama kita. Sebab itu,
masa British mencadangkan Malayan Union, kita rasa ini seperti mahu
merampas negeri-negeri Melayu.
"Kita lupakan perbezaan antara kita dan bersatu sehingga British
tunduk. Tetapi selepas berjaya, terhidang 'peninggalan perang' dan
sesama kita mula memikirkan soal pangkat, nak jadi perdana menteri.
"Semua nak berebut. Inilah yang membuatkan kita lupa kepada
perjuangan asal kita. Kita pentingkan diri sendiri. Di sini, kita
menerima Islam dan fahaman Sunnah Wal Jamaah. Sepatutnya tidak ada
perpecahan kerana fahaman yang sama, tetapi dengan politik, ada yang
mula saling kafir-mengkafir. Kita sengaja melemahkan diri kita sendiri
sehingga tidak lagi majoriti," katanya.
Sementara itu dalam sesi soal jawab, beliau menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai seorang antihadis.
"Itu tak benar. Saya kata, kita perlu berpegang kepada al-Quran dan
hadis-hadis yang sahih. Saya tekankan kalau hadis itu bertentangan
dengan al-Quran, kita perlu berpandu kepada al-Quran. Sunah kalau kita
turut, dapat pahala, kalau tak turut, tak mengapa. Itu cuma sunat kepada
kita sebaliknya yang wajib kita ikut datangnya daripada al-Quran.
"Ramai yang mudah terima hadis tetapi menolak al-Quran. Itu sebab ramai yang keliru dan berpecah," tambahnya.
No comments:
Post a Comment