Kawalan sempadan Sarawak, Sabah diperketat elak pengganas menyusup
MIRI 18 Mac - Polis Sarawak meningkatkan aspek keselamatan di
sempadan berhampiran Sabah di Lawas, Limbang bagi mengelak ancaman serta
memastikan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah tidak menyusup masuk ke
negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata,
antara kawasan yang diperketat kawalan keselamatan ialah di Pusat Kastam
dan Kuarantin (CIQ) Merapok di daerah Lawas, Limbang serta di Sindumin
Sabah yang terletak berhampiran sempadan Merapok.
"Setakat ini, tiada tanda ancaman akan berlaku di Sarawak namun kita
sedang mengawal dengan ketat keselamatan," katanya kepada pemberita di
Lapangan Terbang Miri hari ini.
Acryl berada di sini bagi menyambut kepulangan, Lans Koperal Effendey
Rosli daripada pasukan Platun Tiger Kompeni, Batalion 12, Pasukan Gerak
Am (PGA), Miri yang tercedera di betis kiri semasa pertempuran dengan
pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 9 Mac lalu.
Mengenai kecederaan dialami Effendey, beliau berkata, ini merupakan
antara cabaran terpaksa dihadapi anggota keselamatan yang
mempertaruhkan nyawa demi negara dan mahu masyarakat sentiasa memberi
sokongan kepada mereka.
Sementara itu Effendey, 25, ketika ditemui media berkata, kecederaan
dialaminya tidak sesekali melunturkan semangat untuk bertugas demi
keselamatan negara.
"Saya tidak sabar kembali bertugas selepas kecederaan sembuh sepenuhnya," katanya sejurus selepas tiba di sini.
Beliau berkata, sewaktu kejadian pada 8 malam berlarutan sehingga
subuh, pengganas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan yang
bertugas dalam keadaan gelap dan ini menyebabkan lokasi musuh sukar
dikesan.
"Apabila tertembak walaupun amat sakit, saya masih bersemangat untuk berjuang dan masih memegang senjata," katanya.
Selain Effendey, 25, seorang rakannya, Mohd. Zairiman Ibrahim, 25,
turut tercedera di paha dan betis kanan dan kini sedang menerima rawatan
di Hospital Sandakan Sabah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment