Kerajaan BN bukan tunggul, pekak dan bisu
KUALA LUMPUR 4 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini memberi satu mesej yang cukup jelas kepada semua rakyat bahawa
kerajaan Barisan Nasional (BN) bukannya sebuah kerajaan yang tunggul,
pekak dan bisu.
Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan, BN merupakan sebuah kerajaan
yang tangkas dan tuntas dalam usaha membela nasib serta masa depan
rakyat termasuk golongan bumiputera.
Tidak seperti pihak pembangkang kata Najib, mereka begitu mudah
menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa mengira kesannya asalkan
mendapat kuasa.
''Kerajaan ini bukannya kerajaan yang meranap dan merobohkan peluang
usahawan bumiputera. Kerajaan ini juga bukannya kerajaan populis tetapi
kerajaan inilah yang melaksanakan setiap dasar hasil daripada ketelitian
berpandukan kepada kemampuan negara,'' katanya.
Beliau berucap di hadapan kira-kira 3,000 usahawan bumiputera ketika
merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera (PUB) 2013 di Pusat
Konvensyen Sime Darby di sini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk
Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PUB, Khairy Jamaluddin.
Dalam ucapan tersebut, Najib turut menyatakan komitmen serta iltizam
BN untuk terus bekerja keras dalam usaha membawa Malaysia menjadi sebuah
negara maju.
''Sebagai sebuah kerajaan kita akan menakhoda bahtera negara dengan
penuh iltizam dan kita juga akan bekerja keras dengan penuh bijaksana
agar destinasi dituju dapat sampai dengan selamat.
''Sesungguhnya kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan
kerajaan ini adalah kerajaan yang istiqamah. Kerajaan ini juga kerajaan
yang sentiasa menepati janji,'' ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memberi mandat serta
kepercayaan kepada kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
supaya agenda membela rakyat dan membangunkan negara dapat diteruskan.
No comments:
Post a Comment