Sunday, 10 March 2013

UDAH-UDAH KIRAM OOIIII...

Tuntutan ke atas Sabah kerja sia-sia





KUALA LUMPUR 10 Mac - Hasrat mana-mana individu atau kumpulan untuk menuntut Sabah hanya kerja sia-sia dan tidak akan mendatangkan apa- apa faedah, kata bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

"Tidak ada individu, kumpulan mahupun negara sekalipun yang boleh menuntut Sabah. Tuntutan ke atas Sabah memang tidak ada kes.

"Dunia sudah mengiktiraf Sabah sebahagian daripada Malaysia," kata Syed Hamid yang juga bekas Menteri Pertahanan.

Beliau berkata, perkembangan dan rentetan sejarah jelas menunjukkan Sultan Sulu terdahulu sudah melepaskan hak ke atas Sabah.

Justeru, katanya tindakan kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Lahat Datu Sabah baru-baru ini tidak mendatangkan sebarang manfaat melainkan berhadapan dengan pihak keselamatan Malaysia dan didakwa di mahkamah.

Tambah Syed Hamid ketika beliau merupakan Menteri Luar, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menolak tuntutan Filipina ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di perairan Sabah dan menyifatkan tuntutan itu tidak ada asas ketika memutuskan kedua-dua pulau itu milik Malaysia pada Disember 2002.

"Ketika itu Malaysia membawa tuntutan bertindih bersama Indonesia berhubung Pulau Sipadan dan Ligitan yang terletak di perairan Sabah ke ICJ. Filipina turut cuba membuat tuntutan.

"Kalau Filipina mempunyai asas untuk membuat tuntutan, sudah tentu ICJ akan membenarkan Filipina menjadi pihak ketiga dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan antara Malaysia dan Indonesia pada masa itu," kata beliau kepada Bernama hari ini.

Tambah Syed Hamid kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak perlu dipersoal lagi dan bayaran wang penyerahan kira-kira RM5,300 setiap tahun kepada waris kesultanan Sulu sehingga ke hari ini bukanlah wang sewa.

"Tindakan menyifatkan wang cession (penyerahan) berkenaan sebagai wang sewa hanya bertujuan mengelirukan masyarakat," katanya.


Mengenai tanggapan banyak pihak kononnya jumlah masyarakat berketurunan Sulu yang banyak di Sabah akan menyebabkan isu pencerobohan itu sukar diselesaikan, Syed Hamid menolak tanggapan itu.

"Banyak negara yang mempunyai warganegara berketurunan dari negara asing.

Amerika Syarikat misalnya mempunyai banyak rakyat berketurunan Jerman dan Poland.

"Soal dari mana kita berasal tidak lagi menjadi isu. Ketaatan kaum berketurunan Sulu di Sabah tidak perlu dipersoal lagi kerana mereka sudah menjadi warganegara Malaysia," katanya.

Mengenai tindakan menceroboh Sabah oleh kumpulan pengganas Sulu, Syed Hamid yang kini Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berpendapat kumpulan itu mungkin dipengaruhi golongan tertentu.

"Kerajaan perlu menyiasat perkara ini secara terperinci. Mungkin ada pihak yang mengapi-apikan penceroboh sehingga sekumpulan warga asing berkenaan begitu berani memberontak dan mencetuskan keganasan di Sabah," katanya. — BERNAMA





 

No comments:

Post a Comment