Monday 18 March 2013

SULTAN SULU PALSU PUNYA HAL, NELAYAN TERJEJAS...

Pendapatan nelayan di Lahad Datu terjejas akibat pencerobohan

LAHAD DATU 18 Mac - "Semasa insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo (1 Mac), nelayan di sini (pekan) semua takut dan tidak turun ke laut selama 10 hari," kata seorang anggota lembaga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lahad Datu.

Mohammad Emmu, 54, berkata, kejadian pencerobohan pengganas Sulu itu turut menyebabkan pendapatan nelayan khususnya, nelayan laut dalam, terjejas sedikit kerana tidak dibenar memasuki perairan Tungku yang merupakan kawasan Operasi Daulat.

Beliau yang tidak menafikan mempunyai perasaan khuatir terhadap keselamatan masyarakat nelayan sejak pencerobohan pengganas Sulu itu, bersyukur kerana pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.

"Selepas 10 hari (pertempuran di Kampung Tanduo), nelayan mula ke laut untuk menangkap ikan walaupun di sekitar kuala ini sahaja," kata bekas nelayan itu.

Pengerusi PNK Lahad Datu, Jaafar Alam pula berkata, golongan nelayan di Lahad Datu kini selesa menjalankan aktiviti mereka di bawah pengawasan polis Marin.

Kedudukan Pangkalan Polis Marin Wilayah 4, di pintu kuala Lahad Datu, kira-kira lima kilometer dari pekan itu membolehkan polis marin memantau sebarang ancaman dari lautan terbuka.

Jaafar yang dihubungi Bernama berkata, insiden pencerobohan pengganas Sulu sejak lebih sebulan lepas itu mengimbau tragedi rompakan sekumpulan lanun pada 1985 yang memasuki pekan Lahad Datu.

Namun beliau yakin insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di gugusan Tanjung Labian, kira-kira 130km dari sini, tidak akan merebak ke pekan kerana pasukan keselamatan bekerja keras mengawal keadaan.

Jaafar berkata, terdapat kira-kira 25 kapal nelayan berdaftar di bawah PNK Lahad Datu dan berlabuh di jeti Ko-Nelayan.

Nelayan dari daerah terdekat seperti Semporna dan Kunak turut berlabuh di jeti itu. - BERNAMA

*SO AMACAM TIRAM, KO BOLEH BAYAR KE? KO PUNYA PASAL, NELAYAN TAK BOLEH CARI MAKAN...

No comments:

Post a Comment