Dr M kecewa seni bina Putrajaya hilang keunikannya
Sinar Harian - Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi 'arkitek' pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat hampir dua dekad lalu, kecewa kerana ia sudah mula hilang keunikan asalnya.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri berkata, beliau
berharap Putrajaya Holdings akan mengekalkan keunikan seni bina termasuk
aspek ciri-ciri Islam seperti yang ditekankan di peringkat awal
pembangunannya.
"Putrajaya Holdings, tolong, kekalkan keunikan seni bina Putrajaya," tulis beliau di blognya hari ini.
Dr
Mahathir berkata, sebuah bangunan baru yang ditambah di Putrajaya
terdiri daripada kaca tidak sedikit pun menggambarkan ciri-ciri Islam,
yang tidak ada sifat-sifat imaginatif kerana ia kelihatan seperti kotak
yang disusun antara satu sama lain.
"Saya tidak menafikan
binaannya hebat, tetapi ia kelihatan hebat jika dibina di New York,
bukan di Putrajaya," kata beliau lagi yang bersara sebagai Perdana
Menteri pada Oktober 2003.
Idea membangunkan Putrajaya, yang
namanya diberikan sempena sumbangan Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri
perrtama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, datang daripada Dr
Mahathir, yang merupakan Perdana Menteri keempat dan menerajui
pentadbiran Kerajaan Pusat dari pusat itu sejak 1999. Ia mula dibina
awal 1990-an.
Mengikut makluman laman web Perbadanan Putrajaya, pelaksanaan pembangunan bandar baru ini telah bermula pada Ogos 1995.
Katanya,
jika Putrajaya dibangunkan sepenuhnya, ia akan menawarkan sejumlah
64,000 unit perumahan yang dapat menampung keperluan lebih kurang
320,000 penduduk.
Putrajaya yang mempunyai keluasan 4,931 hektar
terletak dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang strategik.
Ia terletak di lokasi 25 kilometer ke selatan Kuala Lumpur dan 20
kilometer ke utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Malah
menurut laman web Perbadanan Putrajaya, Putrajaya dibangunkan
berasaskan tema "Bandar Dalam Taman". Sejumlah 38 peratus daripada
jumlah keseluruhan kawasan Putrajaya telah dibangunkan untuk kegunaan
taman, tasik dan wetland, Manakala kawasan selebihnya meliputi kegunaan
pejabat-pejabat.
Dr Mahathir turut menzahirkan kekecewaannya
terhadap Putrajaya Holdings yang mengubah struktur binaan hingga
melupakan ciri-ciri Islam yang sepatutnya diterapkan di setiap bangunan
di Putrajaya.
"Saya ada mengunjungi London baru-baru ini, anda
boleh lakukan apa saja yang anda suka di dalam rumah di sana, tetapi
setiap unsur binaan di dalamnya akan membuatkan anda terus sedar yang
anda berada di London.
"Jadi, saya berfikir, satu abad dari
sekarang, saya mahu mereka yang mengunjungi Putrajaya sedar mengenai
keunikan seni bina bandarnya," ujarnya.
Beliau menambah, setiap
negara mempunyai seni bina tersendiri dan pemaju di sana masih mampu
menguruskan dan menjadikan negara mereka secara variasi dan terperinci
agar ia tidak lari dari ciri-ciri asal negara mereka.
"Saya
percaya setiap orang yang melihat seni bina tertentu di sana akan terus
mengingati keunikan Putajaya dan jika ciri-ciri yang sedia ada hilang,
tidak mungkin pengunjung dapat melihat keunikan sedia ada ini.
"Ini hanya pendapat saya, mungkin pihak lain akan berfikir sebaliknya," katanya.
No comments:
Post a Comment