UMNO BERSEDIA TERIMA LEBIH 5,000 PERWAKILAN KE PERHIMPUNAN AGUNG 2012
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor berkata Umno sudah bersedia menerima kehadiran 5,447 anggota
perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 2012 yang akan bermula minggu depan.
Katanya segala persiapan kini sudah di peringkat akhir dan mengikut jadual
yang ditetapkan.
"Kami di ibu pejabat Umno yakin perhimpunan agung akan berjalan dengan
lancar," katanya pada sidang media khas mengenai perhimpunan agung itu di Ibu
Pejabat Umno di sini, hari ini.
Menurut Tengku Adnan Perhimpunan Agung Umno 2012 yang bakal bermula Selasa
ini dengan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan didominasi oleh
mood pilihan raya yang juga merupakan fokus utama Perdana Menteri dan Presiden
parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
Seramai 991 anggota perwakilan bagi setiap sayap parti itu akan bersidang
dan mengemukakan agenda masing-masing sebelum perasmian Perhimpunan Agung Umno
2012 pada Khamis.
-- LAGI
TENGKU ADNAN-PERSIAPAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Tengku Adnan berkata seramai 52 delegasi mewakili 20 parti dari 18 buah
negara di peringkat antarabangsa juga telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan
kali ini sebagai pemerhati dan menyertai Forum Antarabangsa 2012.
Forum bertajuk ''Konflik dan Perdamaian dalam Politik Rakyat-Menoleh ke
Belakang atau Memandang ke Hadapan'' itu akan berlangsung selama dua hari bermula
Isnin (26 Nov).
Dalam pada itu Tengku Adnan sekali lagi mengingatkan perwakilan Umno yang
akan berbahas pada Perhimpunan Agung Umno 2012 supaya berhujah secara bijak dan
tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menyakitkan hati pihak lain.
Katanya walaupun mungkin teruja berucap terutamanya memandangkan perhimpunan
kali ini diselubungi mood pilihan raya, mereka perlu mengelak daripada
menimbulkan isu yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
"Kita minta mereka ''bertomakninah'' sedikit. Memang ada kebebasan untuk
berbahas dan kita terima semua usul yang diberikan. Tapi sebagai parti
berasaskan kaum, kita juga bimbang dan meminta bahawa mereka jangan menyakitkan
hati orang lain," katanya.
Persidangan Agung Umno kali ini juga akan menyaksikan seramai 1,782 wartawan
dari 102 buah agensi media melibatkan media cetak dan elektronik selain media
baharu termasuk blogger dan portal berita online akan bertugas sepanjang
persidangan berlangsung.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment