PRU 13 Penentu survival Melayu
PEKAN 15 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sebarang pilihan raya tetapi penentu kepada survival orang Melayu.
Perdana Menteri berkata, orang Melayu tidak lagi mempunyai tempat bergantung harap sekiranya pembangkang menang kerana pakatan itu tidak mempunyai parti Melayu untuk menjadi teras pemerintahan seperti UMNO dalam Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya DAP, kata Najib, yang diketahui tidak senang dengan kedudukan orang Melayu dan Islam mungkin menjadi 'king maker' dalam pakatan tersebut dan bukannya Pas, apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sehubungan itu, Presiden UMNO itu mengingatkan orang Melayu dan ahli UMNO supaya bersatu hati dalam menangani cabaran pada pilihan raya umum akan datang.
"Pilihan Raya Umum Ke-13 ini bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi soal survival orang Melayu, tanah air kita.
"Kalau nak kekalkan teras pemerintahan, pastikan UMNO menang, (dan sekiranya) sebaliknya berlaku, buruk padahnya," kata Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib selaku wakil Badan Perhubungan UMNO negeri.
Najib berkata, sekiranya kerajaan sedia ada kini digantikan, pasti sesuatu yang buruk akan menimpa orang Melayu.
"Barisan Nasional, terasnya UMNO. Pembangkang siapa terasnya?, Pas, DAP atau PKR?. PKR lemah, kalau sekiranya mereka bergabung, DAP dapat banyak kerusi, adakah orang Melayu dapat bergantung harap kepada DAP?
"DAP (selama ini) tidak ada rasa senang hati terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam...hati perut tak sama dengan kita (BN)," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, ahli UMNO perlu memperkukuhkan kekuatan dan tidak sesekali berpecah, apatah lagi selepas calon parti bagi pilihan raya umum diumumkan.
"Yang penting sekali bukan individu tapi parti, perjuangan mesti diteruskan, kalau parti kalah, tirai akan jatuh, kita akan lihat masa depan tidak menentu," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian persidangan perwakilan tersebut, Najib menyeru seluruh ahli parti supaya bertindak dalam satu barisan dengan mengetepikan segala kepentingan diri demi agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, jika itu dapat dilakukan, insya-Allah PRU-13 bakal memperlihatkan kejayaan cemerlang sekali gus mengekalkan UMNO sebagai parti paling berjaya di dunia kerana kekal berkuasa sejak merdeka.
Dalam pada itu, Najib berkata, selepas pembangkang gagal menafikan kejayaan dibawa UMNO sepanjang memerintah negara, maka mereka cuba mengambil alih apa yang telah dibina atas jerih payah UMNO dan BN.
"Tetapi kita UMNO tidak akan reda jika apa yang telah diusahakan dan dibina selama ini direntap oleh pembangkang," tegas Perdana Menteri.
* so, bila PM dah kata mcm tu, apa lg? Prepare la apa yg patut. Jangan la time2 mcm ni pun sebok nak fikir pasal pemilihan UMNO. Siap nak cantas mencantas.
No comments:
Post a Comment