Koo Ham tidak patut 'terlepas'
PADANG RENGAS 23 Sept. - Polis diminta segera
membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk
Ngeh Koo Ham yang menimbulkan kemarahan pelbagai pihak kerana
mempersoalkan protes umat Islam terhadap filem Innocence Of Muslims.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
menegaskan, siasatan segera wajar dilakukan bagi membolehkan Jabatan
Peguam Negara membuat pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.
''Sebagai menteri undang-undang, saya sendiri memantau isu ini dan
Koo Ham tidak sepatutnya 'terlepas' daripada undang-undang kerana
kenyataannya sangat serius.
''Setakat ini sudah 370 laporan polis dibuat terhadap Koo Ham, polis
seharusnya mempercepatkan proses membuat kertas siasatan," katanya
ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO
Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.
Koo Ham mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas mengeluarkan
kenyataan melalui laman sosial Twitter mempersoalkan protes umat Islam
terhadap filem arahan Sam Bacile itu sebagai banyak membuang masa dan
tenaga.
Tweet itu berbunyi: "Khairy mahu umat Islam memprotes Sam Bacile. Ia
untuk Islam atau kepentingan politiknya? Adakah umat Islam membuang
banyak masa dan tenaga untuk ini?"
Mohamed Nazri berkata, jumlah laporan polis itu membuktikan orang
ramai mahu supaya kes itu disiasat segera dan pemimpin DAP itu diambil
tindakan undang-undang.
Menurutnya, tindakan Koo Ham yang meminta maaf tetapi menyalahkan
orang lain seolah-olah mempersenda perasaan umat Islam yang terguris
ekoran kenyataannya dalam laman sosial tersebut.
''Kita tidak mahu proses siasatan yang terlalu perlahan menimbulkan
andaian bahawa pemimpin sebegini akan terlepas daripada undang-undang
sedangkan kenyataannya itu sangat serius dan boleh menimbulkan
ketegangan," tegasnya.
Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata,
kenyataan Koo Ham itu mencerminkan sikap DAP yang selama ini tidak
menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub
dalam Perlembagaan.
''Dia (Koo Ham) bukan satu-satunya pemimpin DAP yang bersikap
demikian. Sikap mereka juga boleh dilihat melalui pendirian (Pengerusi
DAP) Karpal Singh dalam pelaksanaan isu hukum hudud," katanya.
No comments:
Post a Comment