Kesal khatib sampai khutbah berbaur politik
PADANG SERAI 13 Sept. - Seorang khatib jemputan di sini didakwa bukan sahaja menyampaikan khutbah Jumaat berbaur politik malah turut menyatakan 'Nabi Muhammad SAW menyebut Anwar Ibrahim akan memerintah Malaysia'.
Dalam khutbah yang dibaca di sebuah masjid minggu lalu itu, khatib tersebut mendakwa Nabi Muhammad menyatakan demikian dalam satu mimpi yang dialami oleh mursyidul dan ulama Ikhwanul Muslimin dari Mesir baru-baru ini.
Bimbang kejadian itu berulang, satu laporan polis telah dibuat oleh beberapa kariah Masjid Jamek An-Najjah di Balai Polis Padang Serai di sini hari ini.
Jurucakap kariah terbabit, Mohd. Taridi Darus, 52, berkata, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat selain pada masa sama turut menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengambil tindakan sewajarnya terhadap khatib berusia 29 tahun tersebut.
"Khatib itu secara terbuka mengajak jemaah memberi sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selain itu, dia menyebut seorang mursyidul dan ulama Ikhwanul Muslimin dari Mesir bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Dia mendakwa Nabi Muhammad menyebut akan wujud seorang pemerintah yang bernama Anwar Ibrahim akan memerintah Malaysia.
"Khatib tersebut dalam khutbahnya juga telah memuji kewibawaan pemimpin pembangkang itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini.
Mohd. Taridi berkata, pihaknya kesal dengan tindakan khatib tersebut yang mencemarkan kesucian solat Jumaat dengan menyampaikan ucapan berbaur politik.
Malah katanya, beberapa kariah juga melahirkan rasa hairan dengan pentadbiran masjid itu yang membiarkan perkara tersebut berlaku.
"Sehubungan itu, kita minta JHEAIK menyiasat perkara ini. Lebih buruk, khatib masjid terbabit dikatakan sering bertukar setiap minggu," katanya.
Beliau memberitahu, tindakan menjemput khatib dari luar itu dipercayai berlaku kerana berlaku perselisihan faham dengan beberapa ahli jawatankuasa masjid.
"Imam yang ditugaskan dengan dibayar elaunnya setiap bulan oleh JHEAIK tidak melakukan tugas hakikinya, sebaliknya mereka jemput orang luar datang," katanya.
Seorang lagi kariah, Mohd. Noor Husain, 64, pula mendakwa, masjid tersebut sering digunakan oleh pembangkang untuk mengadakan ceramah termasuk menghentam kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Supritendan Chin Su Song ketika dihubungi mengesahkan laporan terbabit.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib pula memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan rapi berhubung kes tersebut.
"Buat masa ini saya masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai khutbah ini dan kita akan menyiasat perkara yang berlaku itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment