Sunday 16 September 2012

Tq to goverment...


Malaysia sekat siar filem hina nabi

BINTULU 15 Sept. - Malaysia akan menyekat penyiaran filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW berikutan motif filem tersebut jelas menghina agama Islam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, negara Islam lain seperti Indonesia dan Asia Barat telah melakukan tindakan menyekat penyiaran filem tersebut dan Malaysia akan mengikut jejak yang sama.

"Saya telah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui Youtube atau pun saluran lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup bengkel literasi ICT untuk Ketua-ketua Masyarakat Daerah Bintulu di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Penan Muslim di sini hari ini.

Rais berkata, sekatan filem tersebut bertujuan memberi amaran kepada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara yang kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana elemen negatif yang menyentuh sensitivi agama dan juga kaum.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu penyiaran filem tersebut mendatangkan kesan negatif jangka panjang yang membawa kepada penyiaran filem yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain seperti Kristian dan Buddha.

Sementata itu, di KUALA LUMPUR, SKMM telah menghubungi Google Malaysia bagi mendapatkan kerjasama untuk menyekat sedutan filem berkenaan daripada disiarkan di negara ini menerusi laman perkongsian video YouTube.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata, pihaknya turut meminta Google menghormati undang-undang di Malaysia dan rakyat negara ini yang majoriti beragama Islam.

"Kita akan lihat dan berikan mereka masa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai video ini.
"Sebenarnya, pembuat filem ini adalah orang yang tidak bertanggungjawab dan kita akan mengatasinya dengan cara terbaik dan berhemah," katanya ketika dihubungiMingguan Malaysia.

Mohamed Sharil berkata, beberapa langkah juga sedang diambil untuk menangani perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment