Sunday, 16 September 2012

YouTube tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam - Rais


KUALA LUMPUR 17 Sept. - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana masih belum menarik balik klip filem “Innocence of Islam".

"Itulah bagaimana mereka tidak sensitif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rais berkata, kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Memandangkan bantahan meluas di kalangan dunia Islam, beliau berkata, YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.

“YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak untuk dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang," katanya.

Rais berkata, pendakwa raya mempunyai setiap hak mengikut Kanun Keseksaan untuk mengheret pihak-pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang-orang yang melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.
Filem itu dikutuk oleh umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai “sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu "satu penghinaan kepada agama Islam". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment