Jalur Gemilang terbesar berjaya dinaikkan dari dasar laut
PULAU REDANG 16 Sept. - Sambutan Hari Malaysia hari ini lebih meriah selepas sembilan penyelam skuba Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya menaikkan Jalur Gemilang terbesar dari dasar laut.
Jalur Gemilang yang mempunyai ukuran 9.43 x 4.13 meter itu dinaikkan pada pukul 10 pagi oleh penyelam skuba berkenaan sambil dibantu oleh krew Pusat Selam Skuba Sea Monkey dari kedalaman 7 meter di pantai Teluk Kalong di sini.
Program sempena sambutan Hari Malaysia itu turut tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan sekali gus memadamkan rekod terdahulu yang pernah dilakukan pada 2010.
Pengarah Program 'Malaysia Day Dive 2012' MPSepang, Mohamad Firdaus Mohamad Marji berkata, penganjuran program itu sedikit sebanyak memberi ingatan kepada para peserta mengenai kedaulatan negara selain kebanggaan Jalur Gemilang sebagai panji-panji Malaysia.
"Kejayaan yang kami lakukan ini menunjukkan apa pun terjadi, Jalur Gemilang yang menjadi kebangaan setiap rakyat Malaysia harus dipertahankan demi kedaulatan negara dalam apa jua situasi.
"Walaupun sukar seperti selam skuba, namun dengan usaha yang dijalankan, Jalur Gemilang berjaya dikibarkan (dinaikkan) dari dasar laut," katanya di sini hari ini.
Program ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Taman Laut, Kamaruddin Ibrahim dan dianjurkan bersama oleh Kelab Sukan dan Kebajikan MPSepang, Jabatan Taman Laut, Pusat Selam Skuba Sea Monkey dan diiktiraf oleh MBOR.
No comments:
Post a Comment